Seperti yang anda mungkin tahu, McLaren mempunyai sejarah yang panjang dalam pelbagai bidang sukan permotoran termasuk Le Mans.

Antara pencapaian terbaik McLaren dalam perlumbaan endurance itu adalah kemenangan mengejut pada 1995 menerusi F1 GTR yang dikemudi oleh Yannick Dalmas, JJ Letto dan Masanori Sekiya.


Bagi meraikan kemenangan bersejarah itu, McLaren memperkenalkan 720S ‘Le Mans’ yang ditawarkan pada harga bermula £254,500 (RM1.3 juta). Pengeluaran model ini terhad kepada 50 unit sahaja dan 16 daripadanya akan dipasarkan ke Eropah.


Jentera ini boleh didapati dalam dua warna iaitu McLaren Orange dan Sarthe Grey, dan kedua-duanya mendapat padanan warna Ueno Grey pada bahagian bawah badan serta rim dalam penggayaan LM seperti yang ditampilkan oleh F1 GTR #59.


Selain itu, ia juga mendapat logo ‘McLaren 25 anniversary Le Mans’ pada skirt sisi, angkup brek berwarna emas dan skup bumbung yang berfungsi untuk mengalirkan lebih banyak udara ke dalam ruang enjin.


Untuk ruang kabin, supercar ini hadir dengan tempat duduk sport dengan rangka gentian karbon dan logo Le Mans pada perehat kepala, karpet lantai dan plat dedikasi. Pelanggan boleh memilih upholsteri Alcantara dengan perincian berwarna McLaren Orange atau Dove Grey.


Bukan itu sahaja, McLaren Special Operations (MSO) turut menawarkan pelbagai aksesori tambahan untuk mereka yang mahukan penampilan yang lebih unik. Ini termasuklah bar titanium, abah-abah enam poin, kemasan gentian karbon dan bermacam lagi.


Seperti 720S ‘biasa’, model ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 dengan kuasa berjumlah 720PS. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 2.9 saat, 0 hingga 200km/j dalam 7.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 341km/j.