Sempena pelancaran pusat pameran baharu di Glenmarie, McLaren Kuala Lumpur turut memperkenalkan barisan model baharunya untuk pasaran tempatan menerusi McLaren GT.

Kenderaan dalam kelas Grand Tourer itu melengkapkan beberapa model McLaren lain membabitkan 570S, 600LT dan 720S. Ia adalah model mewah yang menawarkan kelajuan dan pemanduan dinamik, selain memberi keselesaan kepada penggunannya.



McLaren GT ini bakal bersaing dengan model-model lain membabitkan Aston Martin DB11 atau Bentley Continental GT. Pada masa sama, ia dijana dengan enjin 4.0 liter twin-turbocharged V8 yang menyalurkan 620PS serta tork setinggi 630Nm.

Tenaga yang dibekalkan daripada enjin itu akan disalurkan ke transmisi tujuh kelajuan dengan klac berkembar. Selain itu, pemandu boleh memilih empat mod pemanduan membabitkan Non-Active, Comfort, Sport dan Track serta memiliki ciri Launch control.



Seperti model supercar yang lain, McLaren GT ini menggunakan kerangka gentian karbon MonoCell-T yang mana ia lebih ringan.

Menariknya dengan model GT, enjinnya berada di bahagian tengah badan kenderaan. Enjin itu kelihatan seperti agak tersorok kerana ia mempunyai ruang but belakang yang turut boleh menyimpan barang satu beg golf.



Di bonet hadapannya juga mempunyai ruang untuk menyimpan barang dan boleh memuatkan satu beg bersaiz medium.

Jentera yang dipamerkan di McLaren Glenmarie itu, menggunakan rim bersaiz 20 inci di hadapan, manakala belakang 21 inci yang mana keempat-empat rim dibaluti dengan tayar Pirelli P Zero.



Di sebalik rim itu, ia dilengkapi kaliper dengan empat omboh di hadapan dan belakang yang tertera logo McLaren. Difahamkan jentera itu berharga RM908,000 tidak termasuk cukai serta barangan pilihan lain. Pastinya selepas cukai, harga boleh mencecah jutaan ringgit.



Sementera itu, Pusat Pameran McLaren Glenmarie mempunyai keluasan 420 meter persegi yang mempunyai perkhidmatan jualan, selepas jualan, aksesori dan pusat servis bagi semua model McLaren.

Pusat pameran itu menerima rekaan yang unik dan menarik. Rekaan cerminnya menyamai pemandangan McLaren Production Centre (MPC) seperti di England.