Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

McLaren Luaskan Rangkaian Supercar Hibrid Dengan Perkenalkan Artura

Erywan
18/02/2021 08:22 MYT
Sembilan tahun dahulu, McLaren memperkenalkan model P1, sekali gus membuka tirai segmen supercar hibrid. Kini, dengan lambakan supercar yang dipacu oleh trenkuasa hibrid di pasaran, pengeluar kenderaan dari Britain itu mensasarkan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam segmen terbabit dengan model terbaharunya iaitu Artura.


Dibuka untuk tempahan mulai sekarang, Artura adalah model pertama yang dimasukkan ke dalam barisan High-Performance Hybrid (HPH) McLaren. Bukan itu sahaja, ia juga merupakan jentera pertama yang dibina di atas platform McLaren Carbon Lightweight Architecture (MCLA).


Ia hadir dengan enjin twin-turbo 3.0-liter V6 yang mampu menghasilkan 585PS dan 585Nm dengan sendirinya. Digandingkan dengan sebuah motor elektrik berkuasa 95PS dan 225Nm yang diintegrasikan ke dalam kotak gear, jentera ini mempunyai kuasa keseluruhan sebanyak 680PS serta 720Nm.


Selain enjin, transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan yang digunakan juga baharu. Ia membantu Artura melakukan pecutan 0-100km/j dalam tiga saat, 0-200km/j dalam 8.3 saat dan 0-300km/j dalam 21.5 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 330km/j.


Motor elektrik seberat 15.4kg itu mendapat bekalan tenaganya daripada pek bateri lithium-ion berkapasiti 7.4kWj yang diletakkan pada bahagian belakang rangka monocoque gentian karbon. Ia membolehkan Artura dipandu secara elektrik sejauh 30km, dengan kelajuan maksimum mencecah 130km/j. Pengecasan dari 0 hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira dua jam setengah dengan menggunakan kabel standard.


Untuk mencapai tahap pengendalian yang tinggi, Artura diberikan ‘differential’ kawalan elektronik (E-diff) yang secara asasnya ditugaskan untuk menguruskan pembahagian tork tayar belakang. Satu lagi ciri menarik adalah teknologi Pirelli Cyber Tyre, di mana setiap tayar mempunyai sebuah cip yang akan menjana data yang kemudiannya dihantar ke sistem kawalan kestabilan untuk mengoptimumkan prestasi tayar.


Selain itu, penggunaan platform MCLA membolehkan McLaren menyertakan sistem bantuan pemandu ADAS yang merangkumi Intelligent Adaptive Cruise Control dengan Stop/Go, Lane-Departure Warning, High-Beam Assist dan Road-Sign Recognition. Semua ciri itu boleh dikemaskini secara atas udara (Over-the-Air). Artura boleh didapati dalam tiga spesifikasi berbeza iaitu Performance, TechLux dan Vision. Di United Kingdom, harga supercar hibrid ini bermula dari £185,500 (RM1.04 juta).

#McLaren
;