ANTARABANGSA
McLaren Speedtail Uji Kelajuan Maksimum, Cecah 403km/j!
Sebuah prototaip McLaren Speedtail (diberi nama XP2) berjaya mencapai kelajuan maksimum 403kilometer sejam (km/j) dalam satu sesi ujian yang dijalankan di Pusat Angkasa Kennedy, Florida baru-baru ini.
Apa yang lebih menarik, pencapaian itu bukan dilakukan sekali, tetapi 30 kali di atas landasan sepanjang 4.8 km itu. Ini sekali gus menempatkan Speedtail di atas takhta kelajuan McLaren yang sebelum ini diduduki oleh F1 dengan rekod 386.4km/j.
Menurut McLaren, sesi terbaru itu menyimpulkan program ujian kelajuan Speedtail yang sudah dijalankan sejak beberapa bulan lalu di beberapa lokasi di seluruh dunia termasuk di Idiada, Sepanyol dan Papenburg, Jerman.

Diperkenalkan buat pertama kali pada Oktober tahun lalu, Speedtail menampilkan enjin 4.0 liter twin-turbo V8 dan sebuah motor elektrik yang menghasilkan 1,050PS dan 1,150Nm.
Gabungan hibrid itu membolehkan ia memecut dari 0 hingga 300km/j dalam hanya 12.8 saat. Untuk perbandingan, Bugatti Chiron memerlukan kira-kira 13.6 saat untuk mencapai kelajuan tersebut.

Tidak seperti kebanyakan kereta hibrid elektrik yang lain, pek bateri Speedtail tidak boleh dicas secara ‘plug in’ sebaliknya ia akan mengecas sendiri semasa dipandu.
Bagaimanapun, setiap unit didatangkan dengan pad pengecas tanpa wayar yang boleh mengekalkan status bateri semasa ia tidak digunakan.

Speedtail adalah model edisi terhad dengan hanya 106 unit ditawarkan untuk pasaran global. Harga bermula £1.75 juta (RM9.38 juta) dan penghantaran akan bermula pada Februari tahun hadapan.
Must-Watch Video