Diperkenalkan buat pertama kali pada Disember tahun lalu, barisan model GLA generasi kedua kini semakin berkembang dengan penambahan versi berprestasi tinggi iaitu AMG GLA 45.

Sebagaimana A 45, model ini juga boleh didapati dalam varian asas dan S yang menawarkan tahap prestasi yang lebih tinggi. Kedua-dua model berkongsi enjin turbo 2.0-liter empat silinder tetapi dengan kuasa yang berbeza iaitu 387hp/480 Nm untuk GLA 45 dan 421hp/500Nm untuk GLA 45 S.

Dengan transmisi klac berkember AMG Speedshift lapan kelajuan, GLA 45 boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.4 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j, manakala GLA 45 S pula memerlukan 4.3 saat dan mampu memecut sehingga 270km/j.

Antara kelengkapan yang disertakan standard pada kedua-dua model adalah sistem pacuan semua roda 4Matic+ dengan Torque Control. Karakteristik ciri ini boleh dikawal menerusi tetapan AMG Dynamics yang terdiri daripada mod Basic, Advanced, Pro dan Master.

Sementara itu, sistem suspensi merangkumi topang MacPherson pada bahagian hadapan dan ‘four-link’ pada bahagian belakang yang direka untuk memastikan kestabilan dan kelincahan maksimum. Turut didatangkan secara standard adalah sistem peredam adaptif AMG Ride Control.

Bukan itu sahaja, aspek pengendalian diperkukuhkan lagi menerusi kehadiran sistem stereng sensitif kelajuan. Bergantung kepada mod yang dipilih, stereng ini akan memberikan tindak balas yang lebih sporty atau selesa.

Seperti model AMG yang lain, tetapan enjin, transmisi, suspensi dan ekzos boleh diubahsuai menerusi enam mod yang disediakan di bawah AMG Dynamics iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race.

Akhir sekali, sistem brek terdiri daripada cakera berukuran 350mm dan 330mm berserta angkup empat omboh dan omboh tunggal berwarna kelabu untuk model asas. GLA 45 S pula mendapat cakera 360mm dengan angkup enam omboh berwarna merah.