Selain Mercedes-Benz S 560 e, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mempertontonkan kenderaan elektrik sepenuhnya menerusi model EQC.

Mercedes-Benz EQC yang anda lihat ini adalah model yang pertama yang dipertontonkan pada peringkat Asia Tenggara. Buat pengetahuan anda, ia juga masih menggunakan pemanduan sebelah kiri.


Jentera itu adalah model pertama Mercedes-Benz di bawah produk dan teknologi jenama EQ yang menjadi penanda aras sebagai mobiliti masa depan.

EQC adalah kombinasi kejuruteraan automotif selama 130 tahun dengan menawarkan keperluan mobiliti akan datang.

Ia secara sistematik merangkumi prinsip human-centred innovation, dan menjadikan e-mobiliti yang mudah, boleh dipercayai serta memberi kesenangan kepada penggunanya.


Jentera tanpa pembebasan karbon dioksida itu menggunakan motor yang mampu mengesktrak output sehingga 408hp dengan tork mencecah 760Nm.

Dari segi prestasi, ia boleh memecut sehingga 180km/j dan pecutan antara 0-100km/j dalam tempoh 5.1 saat.

Rangkaian kuasa elektrik kompak (eATS) pada gandar hadapan dan belakang memberinya pemanduan berkarakter pacuan semua roda dengan menggunakan bateri lithium-ion yang terletak di bawah lantai kenderaan itu.

Bagi memberi pemanduan yang lebih maksimum, baterinya juga boleh dicas ketika dipandu. Ketika membrek, elektrik motor bertindak sebagai generator untuk mengecas elektrik.


Untuk mengecas pula, selama 11 jam diperlukan jika menggunakan pengecas domestik. Jika menggunakan DC Fast Charger, hanya 40 minit diperlukan untuk mengecas kapasiti bateri antara 10 sehingga 80 peratus.

Pada masa sama, ia turut ditawarkan lima mod pemanduan membabitkan Comfort, Eco, Max Range, Sport dan Individual yang mana ia boleh dipandu antara 445 sehingga 471km.

Buat masa ini, tiada maklumat lanjut bila ia akan dijual bagi pasaran Malaysia.


Sementara itu, MBM juga memperkenalkan varian baharu dalam rangkaian model EQ Power iaitu C 300 e. Ia menampilkan rangkaian kuasa plug-in hybrid terbaik daripada Mercedes-Benz dan menjadi ahli terkini dalam keluarga C-Class.

Buat masa ini,tarikh sebenar bila ia akan dilancarkan ke pasaran Malaysia akan diberitahu kelak.

C 300 e menggunakan enjin bersesaran 2.0 liter yang mampu menjana kuasa 211hp dengan tork maksimum 350Nm.

Gabungan enjin petrol dengan motor elektrik berkuasa 122hp untuk menyalurkan kuasa maksimum sehingga 320hp dan tork mencecah 700Nm. Ia memecut dari 0-100km/j dalam 5.4 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j.

Kenderaan segmen sedan itu menggunakan transmisi automatik 9G-TRONIC yang memberi kuasa yang lancar dan menjimatkan.

Selain menggunakan enjin pembakaran, ia juga boleh dipandu secara elektrik sepenuhnya dengan jarak 52km menerusi penggunaan bateri lithium-ion 13.5 kWh.


Bateri itu boleh dicas 100 peratus dalam tempoh 1 jam 50 minit sekiranya menggunakan pengecas Mercedes-Benz Wallbox.