Mercedes-Benz memperkenalkan ‘MPV premium elektrik sepenuhnya’ yang dikenali sebagai EQV. Didedahkan dalam versi konsep di Geneva Motor Show pada Mac lalu, EQV kini sedia untuk diproduksi dan akan membuat kemunculan sulungya di Frankfurt Motor Show pada September ini.

EQV menampilkan bentuk dan rekaan yang sama dengan V-Class, namun tampil dengan beberapa ciri unik sub-jenama EQ seperti jeriji panel hitam dengan sirip krom dan rim ringan berukuran 18 inci.



Selain kemasan Rose Gold pada papan pemuka dan Silver Shadow di sekeliling corong pendingin hawa, rekaan ruang kabin model ini tidak jauh berbeza dengan model asas. Kehadiran bateri tidak menjejaskan keluasan kerana ia diletakkan di ruang khas yang terletak di bawah lantai.

Disasarkan untuk pelanggan persendirian dan komersial, EQV boleh didapati dengan enam, tujuh atau lapan tempat duduk, dalam versi jarak roda standard atau jarak roda panjang.



Kuasa untuk menggerakkan EQV diperoleh daripada sistem pacuan elektrik (eATS) yang terletak pada gandar hadapan. Sistem itu menghasilkan 150kW (201hp), sekali gus membolehkan MPV mewah ini memecut sehingga 160km/j.

Pek bateri lithium-ion berkapasiti 90kWh ditugaskan untuk membekalkan tenaga kepada eATS dan juga memberikan EQV jarak pemanduan sejauh 405km. Pengecasan boleh dilakukan menerusi pengecas on-board (On-Board Charger) 11kW yang sesuai digunakan di kediaman atau mana-mana stesen pengecas awam.



Selain itu, EQV juga boleh mengecas baterinya semasa sedang memecut atau membrek menerusi ciri brek janaan semula. Apa yang menarik, pemandu boleh mengawal tahap janaan semula tenaga menerusi pedal yang terletak di belakang stereng.

Mercedes-Benz masih belum mengumumkan harga dan pasaran bagi model terbaru ini.