Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperluaskan rangkaian kenderaan SUV premiumnya dengan memperkenalkan Mercedes-Benz GLA.


Bagi pasaran negara ini, ia ditawarkan dengan dua varian membabitkan GLA 200 dan GLA 250 yang masing-masing dijual pada harga bermula RM244,199 serta RM285,336 tanpa cukai jualan, manakala dengan cukai jualan bermula Januari 2021 adalah RM252,888 serta RM295,888.


Model entry level SUV jenama itu memiliki panjang 4.41 meter, ia sekali gus menjadi kenderaan paling pendek Mercedes-Benz dan ia sangat sesuai untuk kegunaan di bandar.


Seperti model SUV Mercedes-Benz yang lain, gril radiator mempunyai bukaan khas bersama dengan bilah tunggal dengan bintang di tengahnya. Ia juga hadir dengan lampu depan LED Prestasi Tinggi.


Ruang dalamannya, panel instrumen hadapan dilengkapi dengan paparan ruang penumpang hadapan dua paparan bersaiz 10.25 inci. Ia juga dilengkapi dengan ciri sambungan Mercedes Me yang didatangkan sebagai ciri standard bagi semua varian GLA. Selain itu, SUV berkenaan didatangkan dengan sistem infortaimen (Mercedes-Benz User Experience) MBUX.


Biarpun dimensinya lebih pendek, GLA baharu itu masih lagi menawarkan ruang dalaman yang cukup luas terutama pada kelegaan kaki serta tempat barangan.


Bagi model GLA 200 Progressive Line, ia dikuasai enjin 1.3 liter turbocharged yang digabungkan transmisi automatik 7G-DCT. Ia menyalurkan output sehingga 163hp dengan tork setinggi 250 Nm, selain mampu memecut 0-100km/j dalam 8.7 saat.


Varian GLA 250 4MATIC AMG Line pula, enjin yang digunakan adalah 2.0 liter turbocharged dengan transmisi automatik 8G-DCT. Kuasa yang dibekalkan mencecah 224hp dengan tork setinggi 350Nm. Kelajuan memecut antara 0-100km/j mencatatkan 6.9 saat.


Sekiranya anda mahu memilikinya, Mercedes-Benz ada menawarkan EaseProtect Financing Plan. Bagi varian GLA 200 bayaran bulanan bermula RM2,488, manakala RM2,888 untuk GLA 250.