Biarpun dua tahun lalu Mercedes-Benz Malaysia (MBM) ada memperkenalkan jentera elektrik pertamanya menerusi EQC ke pasaran tempatan, ia nampaknya belum bersedia untuk dilancarkan di negara ini buat masa terdekat.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan MBM, Micheal Jopp berkata, pihaknya perlu menilai semula perancangan untuk memperkenalkan EQC.

“Sebelum melancarkan model itu, banyak peringkat perlu bersedia termasuk aspek khidmat pelanggan, infrastruktur dan latihan rangkaian pengedar.

“Buat masa sekarang, kami masih menilai beberapa model elektrik terbaharu. Seperti yang anda tahu, Mercedes-Benz mempunyai portfolio kereta elektrik yang menarik dan bakal dipertontonkan kepada awam di Munich serta Franfurt Auto Show.

“Sebaik sahaja bersedia, kami akan maklumkan kepada anda semua. Pelan ini akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam sesi temubual dengan media secara maya baru-baru ini.


EQC adalah kenderaan segmen SUV yang dikuasakan dua unit motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang dengan menyalurkan kuasa 300kW (408hp dan tork 760Nm). Sekali cas, ia mampu dipandu sejauh 450km.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa pengenalan model E-Class baharu menerima tempahan yang sangat baik.

Menurutnya, pengenalan model itu juga akan membantu untuk meningkat jualan pada separuh tahun kedua untun 2021.