Antarabangsa

Mercedes-AMG GLC43 ‘facelift’, banyak tambah ciri baharu dengan enjin lebih berkuasa

gempak
Erywan
22/07/2019
00:40 MYT
Sponsor Banner
Mercedes-AMG GLC43 ‘facelift’, banyak tambah ciri baharu dengan enjin lebih berkuasa
Mercedes-AMG memperkenalkan versi facelift kepada GLC43 dan GLC43 Coupe. Kali ini, kedua-dua model itu bukan sahaja tampil dengan wajah terkini dan lebih banyak kelengkapan, malah enjin yang lebih berkuasa.
Enjin biturbo berkapasiti 3.0 liter V6 dan transmisi automatik sembilan kelajuan masih menjadi taruhan, namun kehadiran pengecas turbo lebih besar dan perisian yang ditala semula menyaksikan kuasa meningkat kepada 390hp, 23hp lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Walaupun tork kekal pada 520Nm, sistem pacuan semua roda 4Matic membolehkan kedua-dua GLC43 dan GLC43 Coupe memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j.
Aspek pengendalian pula diuruskan oleh sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dan sistem stereng elektromekanikal yang sensitif kepada kelajuan.
Selain itu, pemandu boleh antara lima mod pemanduan yang disediakan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.
Dari segi penampilan, perubahan paling ketara boleh dilihat pada bahagian hadapan di mana terletaknya rekaan lampu baharu dan jeriji Panamericana seperti yang terdapat pada model GLC63, C63 dan GT C.
Bampar pula menampilkan bukaan yang luas dengan dua jalur berwarna perak pada bahagian kiri dan kanan.
Turut diperbaharui adalah rekaan lampu belakang dan diffuser, manakala muncung ekzos kini didatangkan dalam bentuk bulat.
Selain stereng dan sistem infotainmen baharu, sebahagian besar daripada ruang kabin GLC43 dikekalkan seperti sebelum ini.
Pemandu kini boleh menggunakan sistem infotainmen MBUX menerusi skrin sentuh 10.25 inci dan paparan instrumen 12.3 inci.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live