Mercedes-AMG GLC43 ‘facelift’, banyak tambah ciri baharu dengan enjin lebih berkuasa
Mercedes-AMG memperkenalkan versi facelift kepada GLC43 dan GLC43 Coupe. Kali ini, kedua-dua model itu bukan sahaja tampil dengan wajah terkini dan lebih banyak kelengkapan, malah enjin yang lebih berkuasa.
Enjin biturbo berkapasiti 3.0 liter V6 dan transmisi automatik sembilan kelajuan masih menjadi taruhan, namun kehadiran pengecas turbo lebih besar dan perisian yang ditala semula menyaksikan kuasa meningkat kepada 390hp, 23hp lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Aspek pengendalian pula diuruskan oleh sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dan sistem stereng elektromekanikal yang sensitif kepada kelajuan.
Dari segi penampilan, perubahan paling ketara boleh dilihat pada bahagian hadapan di mana terletaknya rekaan lampu baharu dan jeriji Panamericana seperti yang terdapat pada model GLC63, C63 dan GT C.
Turut diperbaharui adalah rekaan lampu belakang dan diffuser, manakala muncung ekzos kini didatangkan dalam bentuk bulat.
Pemandu kini boleh menggunakan sistem infotainmen MBUX menerusi skrin sentuh 10.25 inci dan paparan instrumen 12.3 inci.