Mercedes-AMG GLC63 Facelift tampil lebih segar
Mercedes-AMG mengemaskini barisan model SUV berprestasi tingginya iaitu GLC 63 dan GLC 63 Coupe. Kedua-dua model tampil lebih segar dengan rekaan yang diperbaharui, namun secara mekanikalnya, ia sama seperti sebelum ini.
Jika dilihat dari bahagian hadapan, model facelift itu kelihatan hampir sama dengan GLE baharu dengan bentuk lampu yang lebih nipis dan bahagian bawah jeriji yang lebih lebar. Di belakang, grafik lampu baharu menyegarkan penampilan GLC. Rim didatangkan standard dalam saiz 20 inci, namun ia boleh dinaik taraf kepada saiz 21 inci.
Selain itu, stereng AMG baharu dengan paparan LCD kecil yang bertindak sebagai butang kawalan bagi mod pemanduan. Pelanggan kini boleh juga memilih untuk mendapatkan upholsteri kulit Nappa dalam warna Magma Grey/Black yang dipadankan dengan jahitan berwarna kuning.
Dari segi prestasi, GLC 63 (versi standard dan Coupe) mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.0 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j, manakala GLC 63 S melakukannya dalam masa 3.8 saat dan boleh memecut sehingga 280km/j.