Anda seorang peminat tegar Porsche? Adakah anda memulakan hari dengan menghirup secawan kopi hangat? Jika jawapan untuk kedua-dua soalan itu adalah ya, kami ada berita baik untuk anda!



Pengeluar mesin kopi mewah Super Veloce (tiada kena mengena dengan Lamborghini Aventador Super Veloce) menghasilkan sebuah mesin kopi espresso yang direka dengan mengambil inspirasi daripada enjin enam silinder rata Porsche 911 generasi 993.



Dikenali sebagai Espresso Veloce RS Black Edition, mesin kopi itu dibina dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh didapati di dalam enjin sebenar. Ini termasuk campuran keluli tahan karat, aluminium dan titanium pada bahagian struktur dan gentian karbon pada bahagian yang menyerupai pelindung cam.



Bagi menghasilkan penampilan yang eksklusif, blok enjin pada mesin kopi ini menampilkan kemasan satin hitam anodized, manakala kepala silinder pula dihiasi dengan cat hitam anodized yang lebih terang.



Ukuran mesin kopi ini adalah 380mm panjang, 420mm lebar dan 340mm tinggi, dengan berat keseluruhan mencecah 21.5kg. Jika anda bukan seorang penggemar kopi pun, mesin ini masih boleh dijadikan sebagai perhiasan dapur yang menarik.



Seperti yang dijangka, kos untuk memiliki sesuatu yang berseni seperti mesin kopi ini agak tinggi iaitu €10,200 (RM47,615). Memang mahal tetapi bagi pengumpul koleksi seni, ia boleh dikatakan berbaloi dengan proses penghasilan dan bahan yang digunakan. Lagipun, Super Veloce akan menghasilkan 993 unit sahaja.