Antarabangsa
Mil-Spec Automotive Bikin F-150 Tampak Garang Dan Ada 500hp
Ford F Series adalah trak pikap di bawah syarikat Amerika dan mula dikeluarkan sejak 1948. Jika berpeluang berkunjung ke negara Uncle Sam, anda akan mendapati trak pikap yang ditawarkan di sana ada pelbagai saiz tidak seperti di Malaysia.
Sejak 1999, F-Series mempelbagaikan tawaran produknya bermula dari siri Super Duty tugas berat, trak pikap, trak casis cab dan trak tugas medium. Untuk model pengeluaran yang ada masa kini termasuklah F-150, F-250, F-450/550 dan F-650/750.
Tentunya versi popular ialah F-150 yang kini sudah memasuki generasi ke-13. Di Amerika Syarikat F-150 ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 5.0L dengan kuasa 395hp @ 5750rpm dan tork 400Nm @ 4500rpm dan 3.3L (290hp/265Nm).
Modifikasi kali ini hasil sentuhan syarikat Mil-Spec Automotive menampilkan model F-150 varian enjin 5.0L V8. Bukan sekadar kuasa bertambah, bahagian suspensi turut dipertingkatkan termasuklah kemas kini bahagian luaran.
Ford F-150 kini memiliki kuasa 500hp berbanding versi standard hanya 395hp. Tambahan kuasa berkenaan diperolehi menerusi enjin Coyote V8 5.0L aspirasi natural. Bagaimanapun Mil-Spec Automotive tidak mendedahkan talaan yang dilakukan untuk mendapatkan kuasa tambahan tersebut.
Bahagian suspensi pula menggunakan pakej peralatan tambahan dari Pakej Prestasi Baja dan Pakej Long Travel Performance Shock. Di bawah Pakej Prestasi Baja, Ford F-150 dipasang dengan suspensi yang lebih besar bersaiz 27.9cm dan jarak antara dua tayar pada gandar yang sama meningkat 34cm.
Sementara, Pakej Long Travel Performance Shock merangkumi penambahan suspensi Fox 3.0, spring boleh laras komprehensif dan beberapa penambahbaikan peralatan lain.
Sebagai tambahan, Ford F-150 turut menggunakan Pakej Penampilan Luaran Baja iaitu rak bumbung dengan jalur LED, ruang tayar simpanan, kemas kini bampar depan dan belakang serta rim aloi dengan tayar off-road 37 inci.
Di samping itu, Mil-Spec Automotive turut melakukan banyak perubahan pada bahagian luaran agar penampilan F-150 lebih lasak dan rugged. Warna badan menggunakan tema askar. Ford F-150 memiliki empat warna iaitu hitam, putih dan dua warna kelabu.
Bahagian kabin dikemas kini dengan sentuhan kerusi kulit. Logo Mil Spec Automotive disematkan di banyak bahagian kereta sama ada luar dan dalam. Harga jualan Ford F-150 sentuhan Mil-Spec Automotive bermula dari $85,000 (RM370,430).