2021 dilihat sebagai tahun yang sibuk buat BMW Group khususnya dalam bidang sukan permotoran. Ini kerana kumpulan itu bukan sahaja menjadi pembekal rasmi kereta keselamatan bagi kejohanan MotoGP, tetapi juga untuk Kejohanan Dunia Formula E.


Untuk perlumbaan elektrik itu, BMW Group akan menggunakan sebuah MINI Cooper SE yang telah dimodifikasi menerusi kerjasama antara MINI Design, BMW Motorsport, FIA dan juga Formula E.

Jentera yang dikenali sebagai MINI Electric Pacesetter itu tampil agresif dengan pelbagai elemen John Cooper Works (JCW) seperti fender yang lebih lebar, ‘splitter’ pada apron hadapan, spoiler belakang dan diffuser. Ia juga dipakaikan rim aloi berukuran 18 inci daripada MINI JCW GP yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport.


Kit badan agresifnya dipadankan dengan skema warna yang begitu menonjol yang terdiri daripada warna perak kusam pada bahagian hadapan. Warna ini bertemu dengan balutan Highspeed Orange dan Curbside Red di bahagian belakang. Trim Energetic Yellow pada spoiler dan diffuser menghasilkan kontras yang menarik.

Sementara itu, bahagian sisi sebelah kiri dan kanan badan pula menampilkan corak bendara penamat perlumbaan dengan logo MINI Electric yang juga boleh didapati pada gril dan bumbung.


Di dalam, kebanyakan komponen telah dikeluarkan, meninggalkan hanya komponen-komponen penting seperti tempat duduk hadapan, tali pinggang keledar, kluster instrumen digital serta konsol tengah di mana terdapatnya tuil gear, brek tangan dan butang kawalan untuk lampu.

Selain itu, sangkar keselamatan dipasangkan pada bahagian belakang ruang kabin bagi meningkatkan keselamatan dan juga ketegaran casis. Bercakap tentang casis, MINI menggunakan sistem suspensi spesifikasi perlumbaan untuk meningkatkan aspek pengendalian Electric Pacesetter.


Ruang kabin yang minimalis serta penggunaan komponen-komponen yang diperbuat daripada gentian karbon secara tidak langsung berjaya mengurangkan berat keseluruhan jentera ini sebanyak 130 kg.

Walaupun trenkuasa elektriknya dibiarkan standard dengan kuasa berjumlah 184PS dan 280Nm, pecutan 0-100km/j kini boleh dilakukan dengan lebih pantas dengan catatan masa 6.7 saat berbanding 7.3 saat oleh versi standard. Bukan itu sahaja, masa pecutan 80-120km/j turut berkurang dari 4.6 saat sebelum ini kepada 4.3 saat.