Pada awal tahun ini, MINI memberikan facelift kepada barisan model mereka iaitu 3-Door, 5-Door dan Convertible bagi memastikan ia kekal relevan di pasaran. Kini, tiba giliran untuk John Cooper Works versi 3-Door menerima naik taraf yang sama.


Seperti yang dipertunjukkan menerusi varian-varian facelift lain sebelum ini, bampar hadapan diberikan rekaan lebih segar dengan jalur merah yang merentangi jeriji dan bukaan udara berbentuk petak sebagai ciri-ciri khusus untuk model berprestasi tinggi ini.

Selain itu, terdapat liang udara yang terletak di sudut kiri dan kanan bampar untuk menyejukkan brek. Bampar belakang pula menampilkan rekaan ‘diffuser’ yang lebih menonjol, serta muncung ekzos berkembar berukuran 85mm.


Model ini didatangkan dengan rim berukuran 17 inci, namun pelanggan boleh menaik tarafnya kepada unit 18 inci. Turut ditawarkan adalah dua pilihan warna baharu iaitu Island Blue dan Rooftop Grey.

Di bawah hud, enjin MINI TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder masih menghasilkan 231hp dan tork maksimum 320Nm seperti sebelum ini. Pecutan 0-100km/j boleh dilakukan dalam 6.3 saat dengan transmisi manual enam kelajuan atau 6.1 saat jika pelanggan memilih transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan.


John Cooper Works 3-Door kini boleh didapati dengan sistem suspensi adaptif yang mempunyai teknologi peredam ‘frequency-selective’ bagi mencapai keseimbangan antara pemanduan yang sporty dan keselesaan. Menurut MINI, ia boleh melakukan pelarasan dalam 50 hingga 100 milisaat.

Sistem suspensi berkenaan merupakan sebahagian daripada pakej John Cooper Works Trim yang ditawarkan sebagai alternatif kepada kelengkapan standard. Pakej ini turut merangkumi trim Piano Black dan upholsteri kulit Dinamica/kulit dalam warna Carbon Black untuk tempat duduk.


Kelengkapan lain yang ditawarkan secara pilihan termasuklah pemanas stereng dan kluster instrumen digital berukuran lima inci dengan dua tema paparan iaitu Lounge dan Sport. Skrin sentuh berukuran 8.8 inci untuk sistem infotainmen didatangkan standard.