Pada ketika MINI meneruskan sambutan ulang tahun ke-60, jenama itu baru-baru ini tampil dengan unit ke-10 juta dibina sejak pengeluaran bermula pada 1959.

Kereta unit ke-10 juta itu adalah sebuah MINI 60 Years Anniversary Edition yang dibina pada 24 Julai lalu di kilang MINI Oxford dan ia diraikan dalam satu acara di Oxford.

Selari dengan sambutan ulang tahun ke-60, MINI juga memburu 60 pemilik yang memiliki 60 kenderaan, setiap satu unit kereta daripada tahun pembuatan berbeza.

MINI baru-baru ini juga mengumpul kesemua kereta itu di kilang Oxford untuk acara sambutan ulang tahun sebelum menuju ke International MINI Meeting di Bristol, satu acara tahunan untuk peminat global MINI.



Kesemua kereta itu diketuai oleh 621 AOK, kereta mini pertama dibina dan di belakang sekali adalah unit MINI ke-10 juta.

Mini klasik dilancarkan pada 1959 dan adalah rekaan Alec Issigonis. Jentera itu merevolusikan dunia automotif dan dihasilkan di Oxford sehingga tahun 1968, sebelum berpindah ke Longbridge, dekat Birmingham.

Di Longbridge, pengeluaran diteruskan sehingga Oktober 2000. Antara tempoh 1959 dan 2000, ada lebih 5.3 juta Mini klasik dihasilkan.

Sejak kelahiran semula jenama ini pada 2001 di bawah pemilikan BMW, jualan di seluruh dunia meningkat dengan hampir 400,000 unit MINI di jual tahun lalu di 110 negara.



Ada tiga kilang di United Kingdom (UK) terlibat dalam penghasilan MINI. Hams Hall dekat Birmingham membina enjin, Swindon pula terbabit dalam himpitan badan jentera dan sedikit pemasangan kecil dan semuanya siap dibina di Oxford yang melibatkan pengeluaran badan jentera serta cat.

Output harian di Oxford meningkat kepada kira-kira 300 buah kereta pada 2001 kepada 1,000 unit hari ini. Ada seramai 4,500 tenaga kerja di Oxford dan setiap kereta MINI disiapkan dalam masa 67 saat di situ.

Model yang dibina di Oxford melibatkan model tiga dan lima pintu MINI Hatch dan MINI Clubman.

Kira-kira 80 peratus MINI dibina Oxford dieksport ke pasaran luar. Model Convertible dan Countryman dibina di Belanda.