Firma restorasi Woodham Mortimer mengumumkan jualan sebuah kereta Mini yang mungkin dikategorikan sebagai unit paling asli di dunia.

Berdasarkan paparan jarak pemanduan pada odometer, kereta ini cuma dipandu sejauh 272 batu atau 437 kilometer.



Model yang disebut-sebut itu adalah Mk1 Morris Minor-Mini Super De Luxe tahun 1968. Ia dihasilkan kira-kira 50 tahun lalu dan percaya atau tidak, kerusinya masih dibalut plastik. Kereta unik ini akan ditawarkan pada ulang tahun ke-60 Mini.

Dibina pada 1967, menjadikannya sebagai antara Mini Mk1 terakhir, kereta ini didaftarkan dan dikirimkan kepada Puan B Jones pada tahun 1968.



Jones membeli kereta ini untuk belajar memandu. Apabila dia gagal mencapai tujuan demikian, kereta ini disimpan dalam garaj dan kekal di situ sehingga ia dilelong oleh keluarganya beberapa tahun lalu.

Boleh dikatakan keseluruhan kereta ini masih berada dalam keadaan asal dan asli. Warnanya adalah Old English White.



Di dalam kabin, ruangannya didominasi oleh warna Tartan Red asli yang lazimnya pudar jika terkena matahari. Bagaimanapun, warna merah itu tidak pudar dan kereta ini kelihatan seperti baru dikeluarkan kilang.

Kereta Mini ini boleh ditonton di bilik pameran Woodham Mortimer di Maldon, Essex. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman ini: www.woodham-mortimer.com.