Watch
Mitsubihsi Lancer ubah suai ke Evo III
Mitsubishi sememangnya terkenal dari dahulu hingga sekarang dengan menghasilkan banyak model berprestasi mereka yang terkenal ke seluruh dunia.
Baik dari model Aspirasi Biasa N/A hinggalah dengan kuasa turbo, mereka sentiasa memastikan semua pengguna mereka berasa puas dengan apa yang dihasilkan.
Model CB3A adalah sebuah jentera yang didatangkan dengan enjin 1.5 liter tanpa kuasa turbo serta kurang prestasinya berbanding model Evolution (Evo) I, II dan III.
Seperti kita lihat, peminat jentera berprestasi di Malaysia tidak akan pernah jemu untuk melakukan sesuatu yang berlainan berbanding di negara luar sana.
Oleh kerana model Evolution I, II dan III sukar untuk diperolah di negara kita, pengguna model lancer CB3A mengambil keputusan untuk menaik taraf jentera mereka dengan melakukan pengubahsuaian keseluruhannya menjadi seperti sebuah Evo.
Bermula dari luaranya, kereta berkenaan hadir kit badan Evo III dengan bumbung matahari yang juga diambil dari model sama.
Penampilannya tampak lebih segak dengan bonet hadapan gentian karbon, lampu depan projektor, lampu belakang Kristal Smoke, bampar hadapan Kansai, cermin sisi Ganador serta signal USDM.
Lebih menarik apabila ia dilengkapi rim Volk Racing TE37 bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar Toyo T1R bagi menambahkan lagi kehebatan pengendalian pada jentera ini.
Kestabilannya pula dibantu dengan suspensi boleh laras D&D (HLSH) yang turut dilengkapi sistem brek dari model Evo III di bahagian depan dan belakang.
Malah, ia juga dipadankan pelapik brek berketahanan tinggi bagi tahap cengkaman hentian lebih mantap dan cekap.
Jika menjengah ruang dalamannya, mata akan teruja selepas melihat deretan meter Defi lengkap disamping turut diletakkan meter AFC Neo bagi memastikan perjalanan enjin serta talaan dapat dipantau dengan sempurna.
Selain itu, tempat duduk hadapan serta sterengnya menggunakan produk dari model Tommi Makinen Edition (TME) sekali gus membuatkan ia tampak sangat kemas.
Pelapik kaki dan tombol gear juga tampak seragam dengan pemakaian peralatan Ralliart. Meter utama pada papan pemuka digunakan dari model yang agak sukar didapati dengan jarum kelajuan sehingga 240km/j.
Selain bahagian luaran dan dalaman sudah ditukar, enjin asalnya digantikan dengan rangkaian kuasa berkod 4G63T dari model Evo III yang lengkap kotak gear pacuan empat roda (4WD).
Seperti biasa, kepala silinder enjin dilakukan proses ‘port & polish’ bagi memberi lebih pelawasan pengudaraan yang memasuki ruangan kebuk.
Selepas itu, kepala silindernya dipasangkan dengan sepasang aci sesondol HKS 272 yang diikat bersama puli boleh laras rekaan kustom.
Bahan api dari tangki utama disedut masuk oleh pam Walbro terus ke pengatur bahan api FSD. Ia seterusnya dihantar ke ‘fuel rail’ bersesaran 560cc bagi pancitan ke dalam kebuk pembakaran yang lebih berkuasa.
Udara akan memasuki ruangan ‘intake’ melalui paip tahan karat yang disambung terus ke pendikit badan Super 90. Udara yang berlebihan pula akan ditolak keluar oleh blow-off Greddy.
Malah, enjin itu lebih berkuasa dengan bantuan beberapa peralatan berprestasi lain membabitkan kabel palam pencucuh dari Ultra Racing, ‘wastegate’ Tial bersaiz 38mm bersama turbo TD05 asal yang sudah diubahsuai.
Kuasa bertenaga dari enjin kemudiannya dihantar ke bahagian kotak gear 4WD Evo III yang dilengkapi dengan klac Exedy 4 Spoke bagi penghantaran kuasa yang lebih mantap.
Bagi memastikan sentuhan kuasa yang lebih teratur, talaan pada enjin dibantu dengan penggunaan ECU GReddy E-Manage.
Sementara itu, emisi pembakaran dalam kebuk disalur keluar melalui paip ekzos tahan karat bersaiz tiga inci yang bahagian hujungnya dilengkapi peredam Exaz.
Baca juga:
Must-Watch Video