Lihat penampilannya, sudah tahu kos modifikasi Mitsubishi Evolution VIII ini memerlukan belanja besar bagi menyesuaikan konsepnya iaitu kegunaan dalam litar.

Boleh dikatakan, semua kit badan yang digunakan membuatnya tampak ‘jahat’. Lebih-lebih lagi apabila dipadankan komponen jenama Voltex iaitu produk talaan terkenal dari Jepun yang pakar dalam dunia permotoran.

Penampilannya sememangnya berbeza apabila dipadankan kit badan Voltex versi Time Attack yang mana bentuknya sedikit lebar berbanding versi standard.

Pada masa sama jentera keluaran 2004 turut dilengkapi bonet gentian karbon Voltex untuk memberi tona warna berbeza, manakala but belakang pula menggunakan produk Varis dengan padanan spoiler Type 5.

Bagi memberi penampilan luaran lebih gah, rim CE28 bersaiz 18 inci warna gangsa gelap digunakan yang sinonim dengan jenama Rays Volk Racing.

Menjengah ruang dalamannya, mata mungkin teruja selepas melihat bahagian atas papan pemuka apabila dipenuhi pelbagai meter jenama Defi.

Tidak cukup dengan itu, pada bahagian tengah papan pemukanya turut dilengkapi enam meter yang diperkemaskan material gentian karbon.

Apa yang paling mengejutkan pada ruang kokpit pemandu adalah stereng Stereng TME apabila ia dikatakan dibeli pada harga RM13,000.

Dengan bentuk luarannya yang gempak, sudah pasti prestasi enjin turut diusik untuk meningkatkan lagi kuasanya bagi menyesuaikan jentera berkonsep kegunaan litar.

Ruang dalaman enjin ditingkatkan dengan ‘stroker kit’ Tomei 2.3 yang menggunakan sesondol HKS 272 bagi memberi prestasi lebih lancar serta responsif.

Bahan api yang memasuki ke kebuk pembakaran dibantu dengan pancitan 1350cc Dynamic dan turut dilengkapi pengurusan elekronik G4+ Link.

Prestasi enjin makin bertambah kuat apabila sistem turbo GTX digunakan, selain emisi yang keluar dari kebuk pembakaran disalurkan keluar ke ekzos ‘petir’ titanium.

Malah kelihatan juga tali sawat dan intercooler HKS sekali gus membuatkan ia tampak lebih kemas dan bergaya.

Bagaimanapun, jentera yang cantik ini bukannya dihasilkan di Malaysia, tetapi dihantar ke bengkel bernama Evo Shop Thailand di Bangkok, Thailand.

>>Klik untuk galeri gambar jentera ini.

Masa untuk menyiapkannya juga memerlukan tempoh hampir setengah tahun dan kos modifikasi mencecah RM90,000.

Rasanya, kos modifikasi itu boleh beli sebiji lagi Evo VIII terpakai yang dijual di negara ini.

Baca jentera modifikasi lain:

>>Mitsubishi Lancer bertukar kepada Evolution.

>>Honda Jazz sentuhan Seeker.

>>Perodua Myvi ‘JDM’.