Pada 13 tahun lalu, Mitsubishi Motors Corporations melancarkan Mitsubishi Lancer Evolution X pada acara Pameran Motor Tokyo 2007 yang menjadi model ‘terakhir’ bagi jentera berprestasi daripada jenama itu.

Sehingga kini, masih ramai peminat Evolution sedang menunggu kehadiran jentera itu, namun sehingga kini tiada khabar langsung atau bayang-bayang sama ada akan diperkenalkan model baharu atau tidak.

Mungkin, jentera itu akan membuat kejutan seperti jenama Toyota selepas melancarkan versi Supra baharu selepas menjalani kerjasama dengan BMW untuk membina kenderaan berkenaan.

Berbalik kepada Lancer Evolution X ketika ia dilancarkan pada 13 tahun lalu, ia diperkenalkan dengan varian Evolution X GSR yang menggunakan kotak gear lima kelajuan manual.

Jentera itu sebenarnya agak ‘rare’ kerana di Malaysia pun dikatakan mempunyai kurang 10 unit berbanding varian automatik dengan enam kelajuan SST yang mendominasikan keluarga Evolution X di negara ini.

Seperti jentera dalam paparan kali ini, ia adalah model Evolution X GSR yang dikatakan cukup ‘rare’ itu. Bukan setakat ‘rare’, tetapi jentera ini juga sudah dinaik taraf secara minimal untuk meningkatkan lagi penampilan serta prestasinya.

Kita lihat pada bahagian luarannya, Evolution X GSR ini diperkemaskan dengan kit badan Varis Version 1 membabitkan aksesori bampar hadapan, belakang dan sisi.

Penambahan kit badan Varis itu mampu membuat Evolution X GSR supaya lebih garang, sekali gus menaikkan imejnya. Skirt sisi yang lebih labuh dan dinamik memberikan padanan lebih menarik serta berbeza berbanding model Lancer GT atau Proton Inspira.

Selain itu, ia dilengkapi dengan pelindung haba Ralliart pada Bampar dan turut dipadankan rim Rays Volk Racing TE37 – Top Secret bersaiz 18 inci.

Bagi membuatkan lebih menarik, ia direndahkan dengan menggunakan suspensi Tein Street Flex dengan Kawalan Tekanan Redaman Elektronik.

Jika membuka bonetnya, boleh katanya bahawa enjin 2.0 liter empat sebaris itu masih lagi standard, tetapi tanggapan itu adalah tidak benar apabila ia sudah dinaik taraf dengan turbo Borg Warner EFR8374 serta wastegate Tial 38mm.

Bahagian dalam enjin, cam dan spring penahan sudah ditukar dengan jenama Tomei serta pemegang omboh juga menggunakan daripada Malney I-Beam. Bagi memberi sistem saluran bahan api lebih lancar, pam petrol Walbro 400lph serta penyuntik ID 1300 turut digunakan.

Kuasa daripada enjin disalurkan ke sistem pertukaran gear yang diubah dengan nisbah pendek dengan menggunakan jenama COBB yang mana sistem klac pula dipertingkatkan OS Giken kepingan berkembar.

Bukan itu sahaja, hasil pembakaran dalam kebuk pula disalurkan ke saluran paip tahan karat yang mana dihujungnya disambung peredam Apexi N1.

Bahagian dalamannya masih lagi kelihatan asal, cuma tempat duduk ditukar kepada kerusi Recaro Evolution X SR11 dan di papan pemuka pula dipenuhi beberapa meter Defi ZD untuk mengawal tekanan minyak dan tahap kepanasan cecair, RPM dan kelajuan.

Jentera yang kelihatan kemas ini sebenarnya menerima sentuhan bengkel KZ Work dan hasil ubah suai itu mampu menyalurkan 466whp pada 2.0 bar boost.

Ketika ditanya berapa kos untuk membina jentera itu, pemiliknya yang mahu dikenali sebagai Zulhelmi memaklumkan bahawa dia sudah pun melabur antara RM25,000 sehingga RM38,000.