Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Mitsubishi Triton Catat Sejarah Dengan Jualan Tertinggi Pada September

Erywan
07/10/2021 06:36 MYT
Mitsubishi Motors Malaysia mencatat sejarah jualan Mitsubishi Triton pada September lalu dengan jumlah serahan sebanyak 1,521 unit serta pegangan pasaran sejumlah 34 peratus di dalam segmen trak pikap di negara ini.

Prestasi jualan Mitsubishi Triton meningkat sebanyak 5.1 peratus untuk separuh pertama tahun kewangan 21 (April-September 2021) dengan jualan keseluruhan berjumlah 6,907 unit.

Pegangan penguasaan pasaran juga bertambah daripada 1.7 peratus (April-September 2020) kepada 3.9 peratus (April-September 2021) dan Mitsubishi Motors masih kekal di dalam kedudukan tiga tertinggi bagi jenama automotif bukan nasional di Malaysia.

Pada masa sama, XPANDER menjadi MPV paling laris bagi jenama bukan nasional di negara ini selepas menerima 13,000 tempahan sejak dilancarkan pada November 2020. Sehingga kini, sudah 5,756 unit sudah diserahkan kepada pemiliknya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi berkata, selepas beberapa bulan berdepan dengan situasi Covid-19, pihaknya berusaha yang terbaik untuk meningkatkan kadar produksi dan penghantaran bagi memenuhi tempahan XPANDER dan Triton.

Menurutnya, pihaknya juga bakal mengumumkan perkhidmatan baharu yang dinamakan sebagai Home Delivery Service bagi memudahkan pelanggan untuk pembelian kenderaan baharu di mana pihak MMM akan menghantar sendiri kenderaan ke depan pintu rumah mereka.

#Mitsubishi
;