Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-HICOM Berhad melancarkan pusat pamerannya menerusi Modenas Power Store yang pertama di negara ini.

Modenas Power Store yang terletak di Sunsuria Avenue, Kota Damansara turut menjadi pusat pameran pertama di rantau Asia Tenggara.



Ia menjadi pusat sehenti yang menawarkan jualan dan servis khas untuk model segmen motosikal jalanan Modenas membabitkan model Pulsar serta Dominar.

Selain pusat jualan, Modenas Power Store menawarkan khidmat kepakaran untuk membaiki motosikal jenanam Modenas sama ada servis major. Pemilik juga boleh melakukan ubah suai model Modenas dengan barang gantian tulen dan aksesori istimewa.



Pada masa sama, pelanggan turut dibantu untuk mendapatkan pinjaman bagi pembelian mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, pengenalan Modenas Power Store akan menaikan profile dan perniagaan Modenas di Malaysia.



“Modenas Power Store bukan sahaja meningkatkan pengalaman pembelian motosikal, tetapi juga menawarkan pengalaman pemilikan dengan menawarkan urusan pinjaman, barangan gantian tulen, tunggang uji, penambahbaikan motosikal dan servis daripada mekanik terlatih.

“Ia juga membina dan meningkatkan hubungan baik kami dengan pelanggan,” katanya.



Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa, Bajaj Auto Limited, Sameer Deshpande
berkata, pasaran motosikal di Malaysia semakin berkembang dan unik.

“Menerusi kerjasama kami dengan Modenas, kami boleh membawa masuk model popular ke pasaran Malaysia yang mana ia berkualiti tinggi serta ditawarkan pada harga mampu milik,” katanya.