Mini Moke ialah satu model kereta ikon Britain yang pernah menjadi fenomena hampir setengah abad lalu. Kereta mini ini masih popular dan digunakan di kebanyakan resort di Kepulauan Caribbean, cumanya tidak sah dipandu di jalan raya United Kingdom (UK).

Baru-baru ini, jenama itu disahkan akan kembali ke pasaran UK selepas 56 tahun. Kereta yang dicipta semula itu akan ditawarkan sebagai Mini Moke edisi terhad sebagai permulaan.


Sejarah Mini Mole lahir daripada rekaan Sir Alec Issigonis dan John Sheppard, dua individu disebalik permulaan model Austin Mini. Pada ketika itu, Mini Moke direka untuk kegunaan pihak tentera dan berperanan sebagai medium pengangkutan ringan selain mudah dikendalikan. Untuk mengurangkan sebahagian kos pembangunan, model ini turut dilancarkan ke pasaran orang awam. Sejak itu, Mini Moke berperanan sebagai satu model kereta seronok dipandu sehingga kini.


Malah Mini Moke pernah muncul dalam empat filem James Bond, selain diminati supermodel Kate Moss dan aktres Brigitte Bardot. Moke International akan memperkenalkan model generasi baharu kereta itu untuk kegunaan jalan raya di UK, selepas memperoleh hak ke atas tanda dagang pada tahun 2015.


Model generasi baharu Mini Moke adalah lebih besar, cantik dan berkuasa berbanding versi original era 1960-an. Menariknya, model baharu ini mengekalkan casis asal dengan rekaan seni reka yang pernah diminati orang ramai.


Kereta itu akan menggunakan enjin petrol empat silinder 1.1 liter dengan kota gear automatik empat kelajuan, membolehkan Mini Moke jana 67bhp dengan tork puncak 93Nm. Kelajuan maksimum ialah 109 kilometer sejam.


Ruang kabin didatangkan dnegan sistem radio USB dua pembesar suara, tiga kluster meter dan perehat kepala. Kereta modem ini ada sistem stereng kuasa dan pemanas cermin depan selain set brek naik taraf dengan suspensi baharu.


Hanya 56 unit akan dibina bagi meraikan ulang tahun ke-56 dengan setiap satu dijual pada harga permulaan £20,000. Pelanggan diberi 14 warna pilihan dengan satu plet khas pada hud dan lencana Union Jack. Moke International menyatakan model tambahan akan tiba di Eropah dan Amerika Syarikat bermula tahun depan.