Mopar mengumumkan akan membawa sebanyak 14 model kenderaan kustom untuk dipamerkan di ruang pameran seluas 15,000 kaki persegi di Pameran SEMA pada 5 November 2019.

Antara model yang dipercayai mampu menjadi tarikan utama ialah Mopar Lowliner Concept yang dibangunkan daripada trak pikap Dodge D200 tahun 1968.



Trak pikap siri D200 itu menjalani naik taraf secara meluas bagi mengubah imejnya kepada sebuah kenderaan retro-moden.

Skim dua tona warna membabitkan campuran merah (Candied Delmonico Red) dan warna krim (Dairy Cream). Mopar turut menanggalkan pemegang pintu, penutup tangki minyak serta antena radio.



Trak itu menggunakan tayar kustom seperti roda daripada era 1960-an. Ia berukuran 22 inci dengan 9.5 inci lebar (hadapan), manakala bahagian belakang adalah selebar 11 inci.

Ruangan roda perlu diperbesarkan sehingga lima inci pada setiap bahagian untuk memuatkan tayar kustom berkenaan. Set lampu hadapan asal nampaknya sudah ditukar kepada jenis jenis LED sebesar tujuh inci. Di belakang, lampu berbentuk tirus digunakan adalah binaan kustom khas untuk projek ini.



Hud asal kereta ini menerima sentuhan di mana ia kini dibuka dengan mencondongkan dedaun hud ke arah hadapan dengan bantuan kuasa. Di bawahnya, ada enjin diesel jenis 5.9 liter Cummins.

Jurutera Mopar juga mengubah kerangka C-channel dengan pemasangan versi box. Mereka juga menganjakkan gandar depan ke hadapan sejauh tiga inci yang membantu meningkatkan lagi jarak roda.



Anggota Mopar turut meningkatkan badan kargo setinggi enam inci dengan membuat kimpalan panel daripada sebuah model Ram 1500. Mopar Lowliner Concept dipasang sistem suspensi angin tiga mod. Pemandu boleh menurunkan ketinggan jentera untuk imej lebih dramatik.

Ruang dalaman menyaksikan pengenaan material kulit upholistri dan jahitan Mopar M pada tempat duduk serta perehat kepala selain transmisi enam kelajuan manual.