Antarabangsa

Morgan Tawar Edisi Terakhir Model 3 Roda Menerusi P101

gempak
Erywan
24/11/2020
03:00 MYT
Sponsor Banner
Morgan Tawar Edisi Terakhir Model 3 Roda Menerusi P101
Morgan Motor Company mengumumkan bahawa ia bakal menamatkan pengeluaran model 3 Wheeler pada 2021. Namun sebelum itu, syarikat yang berpangkalan di United Kingdom itu akan menawarkan model edisi terhad yang dikenali sebagai P101.
P101 bermaksud Project 101, nama dalaman yang diberikan kepada model beroda tiga ini semasa ia dalam fasa pembangunan lebih sedekad lalu. Hanya 33 unit akan ditawarkan dan setiap satu dijual pada harga bermula £45,000 (RM245,520).
Selain rekaannya yang sedia unik jika dibandingkan dengan kenderaan moden masa kini, P101 tampil dengan penutup tonneau berwarna emas pada bahagian penumpang, sekali gus menjadikan ia model satu tempat duduk. Menurut Morgan, penutup terbabit diperlihatkan buat pertama kali pada 2016 menerusi model konsep EV3.
Satu lagi ciri istimewa model ini adalah rim cakera aero yang didatangkan dalam warna yang sama dengan warna badan. Selain itu, terdapat juga lampu kabus berkembar keluaran Hella pada bahagian hadapan. Ia bukan sahaja membuatkan jentera ini kelihatan lebih ranggi, malah kedudukannya dikatakan dapat mengurangkan pergolakan angin pada sistem suspensi.
P101 boleh didapati dalam dua warna iaitu Deep Black atau Satin White Silver. Untuk penampilan yang lebih unik, pelanggan boleh memilih salah satu daripada empat pakej ‘seni’ yang ditawarkan.
‘The Belly Tank’ menawarkan livery yang digunakan oleh kereta lumba jenis ‘belly tank’ yang merupakan inspirasi awal model 3 Wheeler. ‘The Dazzleship’ menampilkan grafik hitam putih yang diinspirasikan oleh corak penyamaran pada kenderaan tentera.
‘The Aviator’ adalah untuk peminat aviasi dengan corak unik yang diambil daripada kapal terbang RAF semasa Perang Dunia Kedua, manakala ‘The Racecar’ pula mempunyai livery seperti yang pernah digunakan oleh jentera lumba Morgan.
Seperti versi standard, P101 dikuasakan oleh enjin motosikal keluaran S&S berkapasiti 2.0-liter dengan silinder V berkembar yang menjana 82hp. Transmisi yang digunakan adalah jenis manual lima kelajuan daripada Mazda. 3 Wheeler adalah satu daripada model paling popular Morgan. Sejak pelancarannya pada 2011, lebih 2,500 unit sudah dihasilkan dan dipasarkan di seluruh dunia.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live