Bagi mereka yang memiliki Ford Ranger dan mahu membezakannya daripada pemilik lain, ini mungkin satu tawaran yang anda boleh pertimbangkan.

Apa yang anda saksikan ini adalah salah satu projek naik taraf oleh pihak Motion R Design. Fokus modifikasi ini nampaknya tertumpu kepada penggunaan pakej kit badan gentian karbon secara ekstensif.

Pakej ini jika dipasang pada Ford Ranger akan menyaksikan kenderaan ini kelihatan lebih lebar disebabkan aksesori dapra dan padanan rim aloi sebesar 20 inci. Tayar yang dipasang sudah semestinya jenis off-road.

Melihat pada bahagian belakang, trak pikap dengan tema karbon ini sudah dikenakan spoiler belakang, panel belakang gentian karbon dan bampar gentian karbon bersama sistem ekzos keluli tahan karat. Lampu belakang juga ada pembaharuan.

Beralih ke hadapan, gril asal sudah digantikan dengan produk gentian karbon dengan rekaan kustom. Selain itu, ada pembaharuan dalam lubang kemasukan angin, bolong pada dapra selain tambahan peresap di bahagian belakang jentera.

Di dalam kabin, jurusolek nampaknya ada memberi sedikit sentuhan pada stereng baharu yang dibaluti kulit bersama kemasan karbon serta padanan gentian karbon pada papan pemuka.

Jika mahu, anda boleh menempah balutan material kulit Nappa pada tempat duduk dan panel pintu. Bagaimanapun, tiada maklumat didedahkan mengenai harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan pakej ini. Apa yang pasti, ia agak mahal.