Moto Guzzi Malaysia membawa masuk sebuah motosikal enduro klasik bersesaran yang besar menerusi model Moto Guzzi V85 TT.

Jentera yang sesuai untuk tunggangan di jalan biasa atau laluan lasak itu dibina di Mandello del Lario, Itali dan dijual pada harga kompetitif iaitu RM79,888.


Biarpun tampil sebuah enduro klasik, ia turut memiliki ciri teknologi terkini. Bagaimanapun, ciri paling penting buat V85 TT ialah dengan menampilkan falsafah yang bersahaja, praktikal dan ringan.

Sesuai dengan motosikal segmen touring, ia kini dilengkapi dengan tangki bahan api 23 liter yang boleh ditunggang melebihi 400 kilometer.


Berhubung dimensinya, ketinggian antara tempat duduk dengan permukaan tanah hanya mencecah 830mm, jarak rodanya (1,530mm) dan lebar (950mm), serta berat dengan 229kg.

Ia dijana enjin 853cc yang mampu menyalurkan output 80hp dengan tork setinggi 80Nm. Kuasa itu disalurkan ke transmisi enam kelajuan dengan padanan klac kering kepingan tunggal. Kuasa yang dibekalkan itu sebenarnya sudah cukup untuk pemanduan off-road atau touring, ini kerana ia dibina bukannya untuk kelajuan maksimum.


Berikutan ia sebuah motosikal enduro, ia menggunakan rim lidi bersaiz 19 inci di hadapan, manakala 17 inci di belakang. Anda juga boleh memilih dua jenis tayar iaitu Metzeler Tourance Next untuk kegunaan jalan biasa atau Michelin Anakee Adventure di laluan off-road.

Ciri moden yang ada pada V85 TT adalah paparan instrumen TFT berwarna yang memaparkan kelajuan, rpm, posisi gear, takat bahan api dan banyak lagi.


Pada masa sama, ia dilengkapi Moto Guzzi MIA iaitu ciri platfrom multimedia yang boleh disambung dengan telefon pintar. Moto Guzzi MIA juga boleh memain muzik, menerima panggilan telefon, selain navigasi.

Selain itu, penunggang boleh memilih tiga mod tunggangan membabitkan Road, Rain dan Off-Road.


Bagi memberi pilihan yang berbeza dan mengikut kesesuaian gaya tunggangan penunggangnya, V85 TT didatangkan tiga pakej aksesori membabitkan Touring Pack, Sport Adventure Pack dan Urban Pack dengan harga bermula RM9,000.