Antarabangsa
Motosikal Honda Mula Berjinak Dengan Teknologi Android Auto
Honda menjadi pengeluar motosikal ketiga selepas Harlay-Davidson dan BMW untuk menggunakan teknologi sistem Android Auto pada motosikal, bermula dengan model Goldwing.
Model Goldwing sememangnya pilihan tepat untuk ditawarkan sistem Android Auto yang mampu menghubungkan telefon pintar dengan motosikal tourer ini.
Mungkin selepas ini, motosikal kembara dwi sport lasak, Honda CRF1100L Twin Africa akan menggunakan sistem sama.
Sistem Android Auto yang digunakan Goldwing mampu menampung pengguna perisian Android 5.0 ke atas dengan memberi akses sambungan untuk muzik dan sistem pesanan atau mesej.
Sistem ini akan memaparkan panggilan di skrin telefon pintar kepada skrin pada motosikal Goldwing, menunjukkan peta atau notifikasi serta mesej daripada pengirim.
Android Auto ini juga melibatkan penggunaan Google Assistant dan sambungan Bluetooth fon kepala. Penunggang boleh menggunakan arahan suara untuk mengendalikan operasi sekali gus memudahkan fokus tunggangan. Tidak perlu mengalihkan tangan daripada bar hendal untuk tujuan ini.
Sistem baharu ini akan diberikan kepada pembeli motosikal Goldwing tahun 2019 ke atas dan pemilik boleh naik taraf sistem mereka di pusat servis Honda secara percuma. Khidmat ini ditawarkan di Amerika Syarikat terlebih dahulu iaitu bermula bulan depan sebelum diikuti negara lain.
Must-Watch Video