Satu ketika dahulu motosikal jenis Honda CBX 750P boleh dikatakan jentera dua roda rasmi yang hanya digunakan pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan sukar untuk menemui jentera sebegitu dimiliki individu persendirian.
Namun selepas penggunaan motosikal jenis ini sampai ke tahapnya, ia akan dilelong kepada orang awam.
Seorang daripada pemilik jentera tahun 80-an itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam, 40, turut memiliki jentera pihak berkuasa berkenaan tetapi sudah diubah suai kepada konsep naked.
Lebih unik enjin jentera asal itu sudah ditukar kepada varian berbeza iaitu 750S.
Apa bezanya?
Bagi varian 750P enjin empat silinder sebaris yang bersesaran 747cc ini dijana oleh sistem Shaft bagi menggerakkan roda belakang sebaliknya pemilik menukar kepada enjin 750S bagi menggerakkan jenteranya menggunakan rantai.
Jentera yang mempjunyai lebih 90 kuasa kuda ini unik berikutan gaya penampilannya jauh berbeza dari asal setelah proses ubahsuai dilakukan.
Pertama sekali adalah gayanya dimana ianya diubah bentuk kepada jentera naked gaya luar negara.
Selain tangki asal yang diubah suai, ia dipasang lengan ayun tunggal lengkap degan rim dari Honda VFR 800.
Fork hadapan pula diceriakan dengan menggunakan komponen Honda CBR1000RR atau lebih dikenali sebagai Rabbit.
Karakter motosikal lama PDRM itu secara total berubah selepas dipadankan rim hadapan Rabbit dengan balutam tayar Batlax.
Bagi memberi bunyi yang garang, peredam ekzos dilengkapi komponen SC Project sekali gus turut meningkatkan sedikit kuasa jentera.
Sudut pengendalian kuda tua ini juga dinaik taraf supaya lebih baik termasuk tempat duduk tunggal.
Sebenarnya sangat banyak komponen lain yang dipasang pada jentera ini. Sehingga kini pemiliknya sudah berbelanja lebih RM35,000 termasuk harga motosikal dan kos ubah suai.
Nizam turut mendakwa bahawa motosikal jenis itu mempunyai nilai tinggi. Sebelum ini, motosikal miliknya itu pernah ditawar RM50,000 dari seorang peminat namun dia tidak menjualnya berikutan sukar ditemui.