Antarabangsa
MPV Mewah, Lexus LM Lancar Di Thailand Harga Bermula RM738,655
Selepas buat kali pertama lancar di China pada tahun lalu, akhirnya Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) mewah Lexus LM kini memasuki pasaran Thailand yang ditawarkan dengan dua varian.
Bagi varian tujuh tempat duduk, ia dijual bermula 5.5 juta baht (RM738,655), manakala 6.5 juta baht (RM873,457) untuk versi empat tempat duduk.
Varian tertinggi dengan empat kerusi itu mempunyai terdapat pemisah antara kokpit dan tempat duduk belakang, seperti limosin. Pelengkap varian ini adalah sistem hiburan, skrin besar, sistem audio JBL dan peti ais mini.
Tempat duduk di belakang adalah jenis urethane foam berketumpatan rendah yang memberikan keselesaan seperti sofa. Ia juga mempunyai sistem pengudaraan untuk disejukkan.
Ia juga dilengkapkan skrin 26-inci, peti ais, ruang simpanan payung dan konsol tengah dengan skrin sesentuh. Konsol ini mengawal posisi tempat duduk, fungsi rehat, penghawa dingin dan sistem audio Mark Levinson.
Versi tujuh tempat duduk pula, ia mempunyai dua kerusi kapten di baris tengah dan 3 tempat duduk sebaris di belakang.
Bagi pasaran Thailand, Lexus LM300h dijana dengan petrol dan sistem hibrid iaitu enjin 2AR-FXE 2.5 liter empat silinder yang menyalurkan kuasa 154PS/206Nm, manakala 68PS/139Nm yang disalurkan daripada motor elektrik pada gandar belakang.
Ciri keselamatanya dilengkapi sistem pra-pelanggaran, cruise control adaptif, bantuan pengesan lorong, bantuan tukar lorong dengan monitor titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.
Buat masa ini, Lexus Malaysia tidak membuka ‘mulut’ sama ada model itu akan dibawa masuk untuk pasaran tempatan atau tidak.
Must-Watch Video