Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Mugen Perkenalkan Pakej Khas Untuk Honda S660

Erywan
01/09/2020 04:11 MYT
Model roadster Honda S660 ialah antara model kereta yang hanya ditawarkan kepada pelanggan di Jepun. Status kereta ini adalah eksklusif untuk pasaran Negara Matahari Terbit.


Berbekalkan saiz kecil dengan posisi enjin pada bahagian tengah kereta, rata-rata peminat global berasa cemburu kerana tidak berpeluang membelinya. Malah roadster ini cukup hangat diperkatakan hingga menarik perhatian firma talaan popular Jepun, Mugen untuk mencipta satu pakej naik taraf baharu bagi S660.

Komponen Mugen merombak wajah depan S660 dengan pemasangan lip bawah bampar, ada opsyen lampu kabus LED dan lampu pencahayaan pada bampar aero baharu untuk membuatkan wajah depan kelihatan lebih besar pada waktu malam.


Bahagian tepi menerima satu sil panjang termasuk bolong pada fender untuk membolehkan angin masuk, tetapi ia nampak seperti tidak membantu menyejukkan semula sistem brek cakera.

Ada juga pilihan bampar belakang yang lebih garang berbanding versi stok standard. Tambahan lain ialah peresap bampar bawah untuk membantu menyempurnakan aliran udara keluar dari bawah S660.


Rim ditawarkan Mugen membabitkan jejari lapan batang berwarna kelabu gelap dengan saiz 15 inci untuk road depan dan 16 inci di belakang. Mugen juga menawarkan damper casis untuk meningkatkan kestabilan dan ketegaran kerangka. Firma talaan itu menyatakan damper ini membantu mengurangkan kesan gegaran, bunyi serta meningkatkan kestabilan pengendalian S660.

Honda S660 versi dipertingkat keluaran tahun 2020 menerima aplikasi warna badan pada tiang A selain kerja-kerja naik taraf aspek kosmetik lain.


Honda turut memperkenalkan dua warna pilihan baharu hijau (Active Green Pearl) dan perak (Alabaster Silver Metallic). Tambahan ciri dilakukan membabitkan pengenalan ciri kerusi dengan fungsi pemanas serta kemasan balutan Alcantara pada stereng dan tombol gear.

Honda S660 menggunakan enjin turbo tiga silinder berkapasiti 660cc yang mampu menjana kuasa 63hp. Pelanggan Jepun ada dua pilihan transmisi iaitu manual enam kelajuan atau CVT dengan fungsi paddle shifter di belakang stereng.

#honda
;