Pernahkah anda terdengar atau mengetahui mengenai kereta Hindustan Contessa?

Hindustan Contessa adalah suatu produk rebadge daripada Vauxhall Victor pada tahun 1984 yang ditawarkan di negara India. Vauxhall Victor pula dihentikan pengeluaran di United Kingdom pada tahun 1978.

Hindustan Contessa adalah sebuah kereta sedan mewah di India sebelum jalan-jalan raya di situ dikuasai oleh produk keluaran Honda dan Mitsubishi susulan pembangunan pesat industri automotif dunia. Apatah lagi dengan adanya Tata, Maruti dan Hyundai.

Dengan pelbagai pilihan model kereta terbentang luas kepada penduduk di India, sedikit demi sedikit Hindustan Contessa semakin dilupai.

Malah ia dikatakan ditamatkan pengeluaran pada awal tahun 2000. Jualan masih berlangsung hingga 2002. Kereta ini sebelum ini dimiliki golongan atau individu berstatus VIP.

Apa yang pasti, ia bukan dibina untuk kelajuan tetapi bersifat mewah. Namun, apa yang menariknya ialah bentuk badan kereta itu seakan-akan sebuah muscle car.

Biarpun dimamah waktu, kini semakin ramai kaki kereta di India mula mencari unit-unit Hindustan Contessa yang masih wujud untuk projek binaan semula.

Apa yang anda lihat ini bukannya kereta dipandu dalam filem Fast & Furious. Ini adalah sebuah Hindustan Contessa yang menjalani transformasi kosmetik.

Hindustan Contessa ini diubah suai oleh sebuah syarikat di Chennai iaitu Modsters Automotive. Mereka menamakan projek naik taraf ini sebagai Project Grey Hound.

Petugas di situ merobek wajah asal kereta ini untuk menempatkan bampar, jeriji, bonet dan dapra lebar baharu padanya.

Tidak cukup lagi, lampu asal di hadapan dan belakang dikeluarkan untuk membolehkan penggunaan lampu jenis LED. Rim digunakan adalah jenis aloi 18 inci dan dibalut tayar profil rendah.

Sebuah spoiler belakang ditambah pada kereta empat pintu ini sebelum disembur cat kelabu matte yang mengingatkan kami kepada model Lamborghini Reventon.

Informasi mengenai jenis rangkaian kuasa atau enjin asal menerima pembaharuan modifikasi nampaknya gagal diketahui. Tiada maklumat didedahkan mengenainya.

Bagaimananpun, model Contessa standard sebelum ini didatangkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.8 liter dan 2.0 liter diesel. Kotak gear pula adalah manual lima kelajuan.

Sebelum ini, ada beberapa pemilik sudah melakukan modifikasi ke atas Hindustan Contessa sehingga ia berwajah Mustang lama.

Kredit: Modsters Automotive