Pengeluar motosikal Itali, MV Agusta baru sahaja mengumumkan rancangan untuk menghasilkan model edisi terhad Rush 1000 bermula bulan depan.


Syarikat itu dalam satu kenyataan mengesahkan hanya 300 buah akan dihasilkan dengan kumpulan pertama motosikal akan meninggalkan kilang pada Mei lalu.


Model Rush 1000 menggunakan casis Brutale 1000 RR, tetapi mempunyai beberapa naik taraf sendiri untuk membezakannya dengan varian lain.


Motosikal ini dilengkapi lampu utama berbentuk bulat, penutup pelana belakang dan sistem ekzos titanium SC Project dengan konfigurasi 4-1-2.


Enjinnya sama macam Brutale 1000RR iaitu 998cc empat silinder yang menghasilkan kuasa kuda 208hp dan tork sekuat 116Nm. Motosikal ini boleh ditunggang sepantas 300 kilometer sejam.


Antara komponen yang dipasang pada motosikal ini ialah sistem suspensi Öhlins, sistem brek Brembo dengan teknologi sistem brek antikunci Bosch 9 Plus Race, sistem quickshifter, empat mode tunggangan (sport, race, racing dan custom) dan rim belakang gentian karbon aerodinamik.


Harga motosikal Rush 1000 ialah €34,000 (RM161,726).