MV Agusta mengumumkan tawaran warna baharu iaitu hitam-emas untuk model Superveloce 800 sebagai alternatif kepada warna tradisi merah-perak.

Pengenalan warna kedua itu dibuat MV Agusta selepas kumpulan pereka syarikat menerima maklum balas daripada orang ramai sejak menyertai Pameran Motor Milan 2018.


Kombinasi warna merah-perak mencerminkan gaya klasik yang mengimbas kembali kejayaan Giacomo Agostini dalam sukan kejohanan MotoGP.

Pilihan tona hitam menyaksikan padanan warna kontra emas pada frem dan rim untuk menimbulkan sifat menawan tetapi agresif. Bahagian fairing sisi pula diwarnakan kelabu gelap.


Pengarah Reka Bentuk Pusat Penyelidikan CRC MV Agusta, Adrian Morton mengakui maklum balas pelanggan dan peminat memainkan peranan penting dalam tawaran warna baharu ini.

“Susulan peragaan Superveloce 800 di Milan, kami menerima banyak maklum balas daripada orang ramai dan pihak pengimport dan memutuskan untuk mencipta dua warna baharu."


MV Agusta Superveloce 800 menggunakan enjin tiga silinder 798cc yang diambil daripada model F3 yang mampu menghasilkan 148hp pada 13,000rpm dengan tork maksimum 88Nm pada 10,600.

Berat motosikal ini cuma 173 kilogram hasil penggunaan bahan binaan ringan termasuk kerangka melindungi enjin yang dihasil daripada keluli dan aluminium.


Ada empat mod tunggangan dengan lapan tahap kawalan cengkaman serta kotak gear yang dilengkapi ciri bantuan elektronik. Harga motosikal ini ialah 19,900 Euro (RM93,239).

Sumber: Omnimotor