Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Naik taraf audio saja cecah RM25,000

Public Anonymous User
26/10/2018 03:38 MYT
Kebiasaannya jentera pacuan empat roda dikaitkan untuk kegunaan lasak dan membawa muatan tertentu.

Namun tidak kurang juga yang mengubahsuai jentera itu kepada jentera autoshow dan ada melakukan modifikasi secara ekstrem.

Kebiasaannya jentera kategori itu diubah suai secara ekstrem dengan meluas di negara jiran iaitu Thailand, cuma trend modifikasi terbabit boleh dikatakan masih kecil di Malaysia.

Bagi memberi sajian berbeza berbanding biasa, Drebar.my cuba memaparkan hasil ubah suai yang lain daripada kebiasaan seperti artikel sebelum ini.

Justeru itu, Drebar.my berkesempatan bertemu pemilik Mitsubishi Triton dari Alor Setar, Kedah selepas jenteranya memiliki suatu aura yang istimewa apabila proses modifikasi lebih tertumpu kepada audio dan luaran.

Jentera milik Muhd Rizzuan Bakar, 29, agak unik apabila ruang belakang yang kebiasaan digunakan untuk pengangkutan diubah suai kepada perumah khas bagi menempatkan aksesori dan sistem audio.

Sebagai pemilik bengkel Sound Drift di Pendang, Kedah itu, sudah pasti ia mahukan sistem audio yang berkualiti dipasang pada jenteranya dengan menaruh kepercayaan kepada jenama King Audio.

Sistem audio yang dipasang pada ruang dalaman dan luaran itu bukanlah untuk pertandingan, sebaliknya lebih kepada untuk tarikan pelanggan ke premisnya.

Audio itu dinaik taraf dengen memasang 4 woofer jenama King Audio bersaiz 12 inci, manakala speaker mid jenama sama bersaiz 6 inci sebanyak 14 unit.

Selain itu, 2 speaker mid bersaiz 8 inci turut dipasang bersama horn tweeter jenama sama sebanyak 14 unit.

Pelbagai lagi aksesori audio yang dipadankan pada jentera itu membabitkan 2 amplifier 4 saluran, ,2 amplifier monoblok Class D Final, 2 Pre-Amplifier 7 Band Formula X dan banyak lagi.

Jangan pula anda terkejut apabila naik taraf sistem audio itu sebenarnya sudah menelan belanja dengan kos mencecah RM25,000.

Selain itu, sudut luaran jentera hanya dimodifikasi secara sederhana dan direndahkan bagi tampak lebih menggoda. Ia juga kelihatan sporty apabila dipadankan rim hitam serta bahagian sisi ditampal dengan pelekat corak grafik menarik.

Begitu juga sudut dalaman apabila kebanyakannya masih mengekalkan komponen asal, kecuali sistem audio yang sudah dinaik taraf.

Menurut Muhd Rizzuan, dia mula berjinak dengan dunia audio semenjak 2005 lagi dan banyak belajar selok-belok tentangnya dari rakan negara jiran.

;