Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

The Naran, Hypercar Luar Biasa Dari Syarikat Baharu

Erywan
30/11/2020 04:31 MYT
Banyak syarikat automotif baharu tiba-tiba muncul sejak kebelakangan ini. Begitu juga Naran Automotive dari United Kingdom tetapi firma ini ada kelainan tersendiri.


Ia bukan satu lagi syarikat permulaan yang mahu teroka segmen hibrid atau dunia elektrik. Ini firma yang mahu hasilkan model hypercar berasaskan minyak petrol sepenuhnya. Naran Automotive melangkah ke segmen kereta mewah berprestasi tinggi dengan menampilkan model pertamanya, The Naran.


Hypercar dua pintu ini sebenarnya ada empat tempat duduk. Ia direka untuk pengalaman atau gaya pemanduan sebuah jentera GT3 di atas jalan raya biasa. Khabarnya, kereta ini akan mula dijual tahun depan.


The Naran dipercayai menggunakan monokok BMW 8 Series dengan susun atur enjin pada bahagian depan-tengah. Jentera ini turut dikenakan sistem pemanduan semua roda (AWD). Hanya 49 unit akan dihasilkan dengan setiap satu menuruti selera pembelinya.


Naran Automotive mengumpul satu pasukan termasuk kerjasama rakan syarikat yang juga pakar dalam aspek reka bentuk, sukan bermotor, inovasi material dan pembangunan enjin untuk menghasilkan The Naran.


Jowyn Wong iaitu pengasas Wyn Design dan individu di sebalik penghasilan Apollo IE serta De Tomaso P72 mengetuai tugas reka bentuk. Berhubung aspek warna dan material yang digunakan, tugas itu dipikul Kate Montgomery yang pernah berkhidmat sebagai pereka Aston Martin Lagonda.


Hypercar itu menggunakan enjin bespoke 5.0 liter V8 yang dipasang dua unit pengecas turbo. Enjin ini dicipta di Jerman oleh syarikat Racing Dynamics. Pembangunan jentera pula dipantau firma EY3 Engineering dan Daniel Mense iaitu individu yang terkenal dengan ciptaan kereta elektrik NIO EP9 (pernah memecah rekod di Litar Nurburgring).


The Naran boleh mencapai kelajuan maksimum lebih 370 kilometer sejam dan enjinnya mampu jana kuasa 1,048 bhp dengan tork setinggi 1,036Nm. Binaan hypercar ini ternyata aerodinamik hingga mampu menghasilkan downforce 1,377 kilogram, melebihi sesebuah kereta lumba GT3.


Kuasa disalurkan ke semua roda untuk mendapat tarikan cengkaman yang diperlukan untuk semua keadaan pemanduan. Menariknya, pemandu juga boleh menukar sistem AWD kepada pacuan roda belakang jika mahu.


Sistem peredam datangnya dari Ohlins dengan empat tahap penyelarasan. The Naran menggunakan stereng rak hidraulik gred perlumbaan dan bukannya elektrik serta sistem brek cakera seramik karbon.


Badan The Naran diperbuat daripada material komposit karbon dan dipasang rim berukuran 22 inci (diperbuat dari hibrid karbon). Cuma, tiada maklumat berhubung harganya didedahkan setakat ini.

#Naran
;