Tempatan

Naza Premira henti operasi Vespa, Didi Resources pula ambil alih

gempak
Erywan
29/11/2019
03:45 MYT
Sponsor Banner
Naza Premira henti operasi Vespa, Didi Resources pula ambil alih
Naza Premira Sdn Bhd akan menghentikan operasi jenama Vespa di Malaysia bermula 1 Januari 2020 dan perbincangan mengenai penamatan jualan jenama itu sudah dilakukan sejak Julai tahun ini antara Naza Group dan Piaggio Group.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Piaggio Group atas kerjasama selama sembilan tahun dan semoga maju jaya bersama rakan perniagaan baharu.
"Kami akan terus fokus dalam mengukuhkan bidang perniagaan teras, termasuk operasi pemasangan dan pengedaran automotif. Dengan dinamik perniagaan terus berkembang dan lebih penting kami kekal kompetitif dan relevan di pasaran dengan trend pelanggan yang sentiasa berubah," katanya.
Bagaimanapun, Naza Premira akan tetap meneruskan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan Vespa di pusat jualan terpilih sedia ada menerusi tawaran servis, alat ganti, waranti hingga 31 Disember ini.
Sementara itu, Piaggio Group secara rasmi mengumumkan pelantikan Didi Resources Sdn Bhd di Malaysia sebagai pengedar rasmi Piaggio dan Vespa.
Didi Resources Sdn Bhd akan menguruskan Piaggio dan Vespa seperti pengedar terdahulu, Naza Premira Sdn Bhd. Piaggio Group mengucapkan terima kasih kepada Naza Premira Sdn Bhd atas usaha pembinaan jenama dan sokongan berterusan sejak 2010.
Pelantikan rasmi Didi Resources sebagai pengimport dan pengedar tunggal untuk Piaggio dan Vespa akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020. Rancangan untuk pembinaan Motoplex sedang dijalankan dengan pelancaran yang dijadualkan pada awal 2020. Motoplex adalah pusat jualan di bawah satu bumbung bagi semua produk Piaggio Group membabitkan jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live