Sejak kebelakangan ini, trend untuk memiliki kereta atau motosikal lama semakin menjadi-jadi sehingga harga kenderaan itu melambung tinggi dan tidak masuk akal.

Satu daripada contohnya adalah Honda EK9 Civic Type R ini. Apa yang mengejutkan jentera yang anda lihat ini dijual sehingga USD 73,000 (RM306,417) di Tokyo, Jepun baru-baru ini. Dengan harga itu, anda boleh membeli sebuah Honda Civic Type R (FK8R) yang baharu dengan memiliki 320hp.


Berbalik Honda EK9 Civic Type R itu dijual melalui secara lelongan di USS Tokyo yang menjadi tempat jualan kenderaan terpakai di sana kepada pengedar.

Apa yang membuat kenderaan itu mahal? Difahamkan, Honda EK9 Civic Type R itu memiliki kondisi yang baik dan sangat sesuai untuk dijadikan koleksi pengemar kereta JDM.


Kereta itu hanya baharu sahaja dipandu sejauh 2,549km pada odometernya dengan memiliki kondisi gred 4.5 daripada 5. Ini bermakna ia hampir mendapat gred penuh dalam kenderaan lelongan.

Kenderaan yang menjadi segmen hatchback terbaik buatan Jepun pada tahun 1990-an itu memiliki enjin 1.6 liter B16B aspirasi biasa dengan kuasa output 182hp pada 8,200rpm serta tork setinggi 159Nm pada 7,500rpm.


Kuasa daripada enjin itu disalurkan ke transmisi lima kelajuan nisbah pendek yang dikatakan mampu memecut 0-100km/j dalam 6.7 saat.

Bahagian dalamannya pula, EK9 Type R itu diceriakan dengan tema merah yang boleh dilihat pada kerusi bucket Recaro dan pelapik kaki, selain dilengkapi tombol gear titanium Type R serta roda stereng Momo balutan kulit.