NIO ET7, Adakah Ini Jadi Pencabar Tesla?
Erywan
15/01/2021 03:46 MYT
15/01/2021 03:46 MYT
Pengeluar kenderaan elektrik dari China iaitu NIO baru-baru ini memperkenalkan model sedan pertamanya iaitu ET7. Ditawarkan pada harga bermula RMB448,000 (RM280,244), ia kini dibuka untuk pra-tempahan di pasaran China namun penyerahan hanya akan bermula tahun hadapan.
ET7 adalah sedan yang agak besar dengan ukuran panjang 5,098mm, lebar 1,987mm dan tinggi 1,505mm. Jarak tapak roda pula mencecah 3,060mm, iaitu 100mm lebih panjang berbanding tapak roda Tesla Model S.
Seperti model rekaan NIO yang lain, ruang dalaman ET7 tampil ringkas dan futuristik dengan skrin sentuh berukuran 12.8 inci sebagai elemen utama. Ia boleh dikawal menerusi sistem kecerdasan buatan (AI) Nomi yang terdapat di atas papan pemuka. Antara ciri menarik lain yang tersedia adalah sistem audio dengan 23 pembesar suara serta kemasan yang diperbuat daripada rotan.
Model ini dibina di atas platform campuran keluli ringan dan aluminium, dan dikuasakan oleh dua buah motor elektrik. Unit yang terletak pada gandar hadapan menjana 241hp, manakala unit kedua yang menggerakkan gandar belakang menghasilkan 402hp. Gandingan kedua-dua motor elektrik itu memberikan ET7 kuasa keseluruhan berjumlah 644hp dan 850Nm, sekaligus membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.9 saat.
ET7 boleh didapati dengan tiga pilihan kapasiti bateri. Model ‘entry-level’ mempunyai bateri 70kWh dengan jarak pemanduan sejauh lebih 500km, manakala model 100kWh pula boleh dipandu sejauh lebih 700km dengan satu cas penuh. Model teratas yang mempunyai bateri berkapasiti 150kWh pula mempunyai jarak pemanduan sejauh lebih 1,000km.
Satu lagi kelebihan sedan elektrik ini adalah ia dilengkapi dengan teknologi pemanduan autonomi dengan bantuan 33 unit pengesan, termasuk kamera beresolusi tinggi, LiDar, radar, sensor ultrasonik, V2X dan ADMS. Semua data yang terkumpul akan diproses oleh komputer yang diberi nama NIO Adam yang mempunyai empat teras NVIDIA Drive.