Selepas Honda City, kini tiba pula giliran Nissan Almera Turbo generasi baharu untuk menunjukkan kelebihannya.

Kenderaan sedan segmen B itu kini dibuka untuk tempahan yang akan dijual bermula RM80,000 dan dijangka akan dilancarkan pada Oktober ini.


Nissan Almera dengan menggunakan enjin turbo itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu VL, VLP dan VLT. Bagi varian VL dan VLP ia dijual dalam anggaran bermula RM80,000, manakala bermula RM90,000 untuk versi spesifikasi paling tinggi iaitu VLT.


Enjin Jimat Minyak Serta Beri Kuasa Serta Merta

Ketiga-tiga varian itu berkongsi enjin 1.0 liter yang menyalurkan 100PS pada 5,000rpm dengan tork setinggi 152Nm bermula 2,400 sehingga 4,000rpm.

Apa yang menariknya dengan enjin baharu itu, ia menampilkan beberapa inovasi teknikal yang mana membuatkan pemandu akan merasai pecutan serta-merta.

Ini berpunca daripada wastegate elektronik yang menambah baik mampatan turbo dengan membuka dan menutup injap lebih efisyen, sekali gus mengurangkan turbo lag.

Enjin itu juga hadir dengan Teknologi Saduran Gerek Cermin yang diadaptasi daripada Nissan GT-R untuk membantu mengurangkan geseran antara gelang omboh dan bahagian dalam silinder. Ia turut membantu meningkatkan ketahanan, mengurangkan masalah kehausan dan pengurusan haba.

Pada masa sama, ia juga memberi penjimatan bahan api dengan purata 18.4km/L atau mampu dipandu sejauh 650km dengan satu tangki penuh berkapasiti 35 liter.


Bentuk Luaran V-Motion

Almera Turbo itu diserlahkan dengan jeriji V-motion dan didatangkan lampu utama depan dan belakang serta kabus LED untuk varian paling tinggi iaitu VLP. Bagi varian VLT dan VL, kedua-dua model itu didatangkan dengan lampu halogen.

Bagi VLP dan VLT, kedua-dua varian itu menerima kosmetik luaran yang sama dengan mempunyai spolier kecil dibelakang dan menggunakan rim 16 inci dua tona warna. Varian paling rendah, VL pula didatangkan rim 15 inci warna perak dan tidak mempunyai spoiler kecil di belakang.

Dari segi dimensi, Almera Turbo itu lebih panjang, lebar dan rendah berbanding sebelum ini. Secara keseluruhannya, ia 70mm lebih panjang, 45mm lebar dan 40mm rendah, selain jarak roda dipanjangkan sebanyak 20mm berbanding Almera generasi pertama.


Ruang Kabin Lebih Kemas Dan Menarik

Ruang kabin Almera Tubro secara keseluruhan sangat berbeza dengan versi sebelumnya. Kini ia hadir dengan panel instrumen ‘Gliding Wing’ dengan sentuhan krom, kemasan piano berwarna hitam dan tekstir bercorak gentian karbon.

Ia juga dipadankan stereng sporty yang rata pada bahagian bawahnya dan dilengkapi papan pemuka yang dibaluti kulit lembut berwarna cerah, turut menggunakan skrin sesentuh lapan inci, meter berwarna separa digital bersain tujuh inci dan tempat duduk kulit. Ciri-ciri itu hanya ada pada varian VLP dan VLT sahaja.

Bagi varian VL, papan pemukanya hadir dengan warna hitam, sistem audio tidak mempunyai skrin sesentuh serta meter kelajuan analog sepenuhnya.


Ruang Kargo Seluas 482 liter

But belakang boleh isi sehingga empat beg golf dan kini hadir dengan bukaan lebih rendah serta luas supaya mudah diakses.

Istimewanya untuk pasaran Malaysia, tempat duduk belakang itu boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 dan ia berbeza spesifikasi Thailand.


Ciri Keselamatan Yang Terbaik.

Almera generasi sebelum ini, boleh dikatakan agak kurang dari ciri keselamatan. Bagaimanapun, versi generasi baharu ini didatangkan dengan enam beg udara SRS, manakala dua beg udara untuk varian VL.

Namun, semua varian dilengkapi dengan ciri keselamatan lain membabitkan Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Brake Assist (BA), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Hill Start Assist (HSA) dan ISOFIX.


Pilihan Warna Dan Waranti

Bagi Almera Turbo itu, ia ditawarkan dengan enam pilihan warna membabitkan merah, oren, kelabu gelap, hitam, putih dan perak.

Semua Almera Turbo hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan diberi lima kali servis percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh).