Pada April lalu, Nissan GT-R Edisi Ulang Tahun ke-50 membuat debut di Pameran Antarabangsa New York 2019 dan varian kali ini dipercayai berjaya menganjak penanda aras keluarga GT-R ke satu tahap baharu.

Model edisi tahun 2020 itu membuatkan jurutera-jurutera Nissan memikir dan menggunakan segala pengalaman mereka untuk mencabar diri bagi memerah kuasa tambahan daripada rangkaian kuasa asal.

Namun selepas hampir tiga bulan pengenalannya, ia bakal memasuki pasaran United Kingdom (UK) yang dijual bermula £92,995 (RM483,225).


Daripada 50 unit yang ditawarkan, hanya 18 unit sahaja dibina dengan pemanduan sebelah kanan. Pemilik di UK akan menerima kenderaan edisi terhad itu pada penghujung Ogos ini.

Buat pengetahuan anda, Nissan GT-R tahun 2020 akan ditawarkan dengan tiga trim dalam kebanyakan pasaran iaitu GT-R Premium, GT-R Track Edition dan GT-R NISMO.

Namun, kereta edisi istimewa itu akan didatangkan dengan pilihan warna tiga warisan. Ini membabitkan kombinasi warna dua tona yang mewakili hiasan GT-R daripada siri Japan GP.


Warna Bayside (Wangan) Blue dikembalikan dengan salutan jalur berwarna putih. Sedikit sentuhan warna biru turut diberikan pada bahagian rim sebagai padanan.

Selain itu, pilihan warna Pearl White dengan jalur merah dan Super Silver bersama jalur putih melengkapkan warna pilihan edisi ulang tahun ke-50 itu.

Di dalam kabin model ini, satu skim warna kelabu istimewa dikenakan untuk membantu kabin kelihatan mewah.

Selain itu, stereng yang dipadankan kali ini adalah unik termasuk tombol penukaran gear, kerusi dengan pencetakan timbul istimewa, perehat kepala menggunakan Alcantara dan banyak lagi.


Enjin GT-R yang digunakan adalah 3.8-litre V6 turbo berkembar dengan janaan kuasa 565hp dan setiap satunya dibina menggunakan tangan oleh pasukan jurutera takumi.

Jurutera memasang sistem pengecas turbo baharu yang membantu merendahkan pusingan enjin seminit sekali gus melonjakkan tahap keefisienan sebanyak 5 peratus.

Secara keseluruhannya, ia membantu enjin memberi respons lebih tepat ketika memasuki dan keluar daripada selekoh sekali gus meningkatkan pengalaman pemanduan yang lebih baik.


Manifold ekzos yang diinspirasikan daripada tekonologi perlumbaan kini mengoptimumkan poin sambungan turbo. Ini membenarkan servis lebih pantas dan potensi talaan tanpa menyentuh manifold ekzos.

Kotak gear enam kelajuan klac berkembar ditambah baik dengan mode R, dicipta untuk kegunaan di jalan raya dan litar.

Mode itu membolehkan penurunan gear lebih agresif untuk mengoptimumkan pemanduan lebih baik di kawasan berselekoh. Sistem brek antikunci (ABS) membantu jentera agar tidak tersasar ketika membrek atau menurunkan gear di kawasan selekoh juga.

Ekzos GT-R pula menggunakan muncung baharu yang diperbuat daripada titanium dan ia berwarna kebiru-biruan. Sistem kawalan suspensi elektronik ditala untuk memastikan kestabilan lebih baik sewaktu mengambil selekoh dan pemanduan lurus yang lebih baik.