Ada golongan yang menganggap sesebuah kereta sebagai masih baharu dengan menilai kesempurnaan atau keaslian keadaan kenderaan itu tanpa mengira jarak perbatuan.


Mungkin ada asasnya, kerana kita tahu ada pengimport kereta rekon gemar melakukan aktiviti 'pusing meter' untuk menyembunyikan jarak perbatuan sebenar bagi melariskan jualan.


Kali ini, ada satu kereta yang sememangnya tergolong dalam kategori amat rare dan benar-benar nampak seperti seminggu dua tinggalkan kilang Nissan. Nissan GT-R V Spec II Nur ini adalah keluaran tahun 2002. Nama Nur pada model ini bukan bermaksud cahaya, tetapi berasal dari nama litar Nurburgring.


Kereta idaman ramai ini kini berada dalam pemilikan JDM Expo dan ia untuk dijual. Jarak perbatuan pada odometer cuma 362 kilometer disahkan oleh JEVIC, menurut pihak JDM Expo pada laman webnya.


Nissan di Jepun cuma membina sebanyak 718 unit versi ini dan dibangunkan daripada model generasi R34. V Spec II Nur keluaran Nissan ada komponen lain dan talaan berbeza dengan R34 lain, membabitkan sistem pengecas turbo lebih besar dan peningkatan boost untuk menjalan lebih banyak kuasa output.


Khabarnya, V Spec II Nur dikatakan sekuat 276hp dan ini kerana sekatan di Jepun pada masa zamannya. Ada yang menyatakan output sebenar ialah 330hp. Talaan dibuat menjadikan kereta ini sebagai siri edisi khas dan berbeza dengan model standard GT-R (R34). Pihak penjual menjelaskan bahawa kabin kereta ini masih berbau seperti kereta baharu.


"Amat bersih, benar dan jarak perbatuan sudah disahkan, bebas kemalangan, bebas karat, ruang dalaman seperti bau kereta baharu.”


Kereta sport ini pernah dipertonton dalam video promosi JDM Expo pada November tahun lalu. Berdasarkan laman web syarikat itu, V Spec II Nur masih untuk dijual. Harganya cuma AS$485,000 (RM2 juta).


Menariknya, harga itu masih boleh dirunding (nego), tetapi mungkin sekadar beberapa ribu dolar sahaja.