Jika kita lihat di negara ini, boleh dikatakan agak ramai pemilik jentera ‘supercar’ yang hebat.

Jentera ‘supercar’ ini selalunya menjadi idaman dan impian buat peminat kereta untuk memiliki pada suatu hari nanti.

Bagi jenama Nissan, ia bukan sahaja mengeluarkan kereta yang mampu milik tetapi turut menghasilkan jentera luar biasa untuk memenuhi kehendak penggunanya di seluruh dunia.

Malah, pasti ramai yang boleh meneka jika bertanya apakah jentera hebat jenama Nissan. Jawapannya cukup mudah sama ada Nissan Skyline atau GT-R.

Tanpa kita sedari, sebenarnya ramai pengguna jentera hebat seperti ini di Malaysia, namun mereka tidak menonjolkan di khalayak umum. Malah ada yang menyimpannya sebagai koleksi peribadi sahaja.

Nissan GT-R yang dipaparkan kali ini mungkin nampak biasa sahaja, tetapi tanpa disedari enjin di bawah bonet hadapannya sudah dinaik taraf dengan begitu hebat.

(Kit HKS GT600)

Difahamkan, kit HKS GT600 membabitkan penambahan beberapa komponen prestasi seperti kit paip intercooler, kit Blow-off Super SQV, palam pencucuh Super Fire Racing, pam minyak dan banyak lagi.

Nissan GT-R dengan padanan kit itu dikatakan mampu menyalurkan kuasa maksimum yang boleh mencecah hampir 600hp dengan tork sehingga 772Nm.

Oleh yang demikian, pemiliknya membuat satu keputusan yang sangat tepat dengan menaik taraf jentera beliau tanpa membuang masa.

Prestasi yang dihasilkan turut diperhebatkan lagi dengan padanan sistem ekzos HKS dan ia sangat sesuai untuk meningkatkan prestasi secara keseluruhan.

Selain itu, GT-R merah ini menggunakan sistem penyerap hentak Ohins Performance pada keempat-empat bahagian rodanya.

Ia juga bukan sahaja membantu untuk menjinakkan jentera buas ini dari segi pengendalian, tetapi memberi lebih keselesaan dalam pemanduan.

Bahagian breknya pula, kaliper asal dipadankan dengan pelapik Endless MX72 yang mampu menambah kecekapan dalam proses memberhentikan kenderaan ini.

Ia juga secara tidak langsung akan meningkatkan lagi aspek keselamatan supaya lebih baik berbanding komponen standard.

Sekiranya lihat bahagian luar dan dalam, ia masih lagi kekal asal kerana pemiliknya mahu jentera ini kelihatan asli dan ‘low profile’.

Namun di sebalik ciri ‘low profile’ itu, ia sebenarnya mampu memberi persembahan hebat kepada pesaingnya di luar sana.

Cuma anda akan lihat sedikit kelainan pada bahagian luaran selepas menggunakan rim Varro Wheels yang dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport keseluruhannya bagi tahap cengkaman lebih padu di atas permukaan jalan raya.

Agak ringkas bukan, tetapi Nissan GT-R ini mendapat hasil kerja tangan dari pihak yang hebat iaitu Garage R di Singapura, ATS dan juga R Engineering.

Baca juga:

>>Nissan R35 GT-R Track Pack.

>>Nissan GT-R 'kenit' binaan Liberty Walk.