Antarabangsa
Nissan GT-R Nismo 2020 kini hadir versi Lego – Ini mungkin mampu beli!
Sekiranya tidak mampu untuk memiliki Nissan GT-R Nismo, tetapi mahu memilikinya, ini adalah peluang anda.
Syarikat pengeluar automotif itu buat kali pertama menjalani kerjasama dengan Lego untuk melancarkan versi Lego GT-R Nismo 2020 yang bakal berada di pasaran pada Januari ini.
Buat pengetahuan anda, ini adalah kali pertama Lego menjalani kerjasama dengan pengeluar kenderaan daripada negara matahari terbit.
Ia akan membarisi produk Speed Champions yang menampilkan model Dodge Challenger SRT Demon 2018 dan McLaren Senna.
Lego GT-R Nismo mempunyai 298 komponen yang memerlukan masa hampir sejam untuk mencantum komponen blok, tetapi hanya 20 minit bagi mereka yang mahir dengan permainan itu.
Sebelum ini, Nissan memperkenalkan GT-R Nismo 2020 pada Pameran Auto New York pada awal tahun ini. Jentera banyak dipenuhi dengan kit badan gentian karbon membabitkan bampar, dapra sisi, hud dan bonet.
Ia juga tampak gah dengan padanan rim aluminium ringan 20 inci RAYS yang mana di bahagian dalamnya diperkuatkan pakej brek seramik karbon serta rotor Brembo.
Di bawah bonetnya, ia dijana dengan enjin 3.8 liter V6 twin-turbocharged yang menyalurkan 600hp dengan tork setinggi 652Nm.