Tempatan

Nissan GT-R NISMO SE - Hud CF, Rim RAYS 20 Inci, Warna Stealth Grey, 600PS

gempak
Erywan
15/04/2021
02:27 MYT
Sponsor Banner
Nissan GT-R NISMO SE - Hud CF, Rim RAYS 20 Inci, Warna Stealth Grey, 600PS
Walaupun sedang sibuk dengan persiapan pelancaran 400Z, Nissan masih sempat mengemaskini model supercar flagship-nya iaitu GT-R NISMO. Untuk tahun ini, jentera yang diberi jolokan ‘Godzilla’ itu ditawarkan dalam versi edisi istimewa dengan tampil kelengkapan tambahan.
Apa yang dimaksudkan adalah hud gentian karbon dengan saduran jernih dan rim aluminium tempaan RAYS berukuran 20 inci. Hud terbabit adalah 100 gram lebih ringan berbanding hud standard, manakala rim itu dihiasi dengan jalur berwarna merah yang sepadan dengan skirt hadapan, sisi dan belakang.
Warna kelabu yang ditampilkan ini dikenali sebagai Stealth Grey dan ia adalah eksklusif untuk GT-R NISMO sahaja. Menurut Nissan, ilham untuk warna ini datang dari permukaan litar-litar lumba yang pernah menjadi pentas ia beraksi. Selain itu, logo baharu Nissan turut terpampang pada bahagian bonet serta rim.
Model dibina mengikut pesanan ini kekal dengan enjin 3.8-liter twin-turbo V6 yang dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar dan sistem pacuan semua roda. Enjin itu menghamburkan 600PS dan 652Nm dengan bantuan pengecas turbo dari kereta lumba GT-R GT3.
Bukan itu sahaja, enjin untuk GT-R NISMO edisi istimewa turut menerima naik taraf yang membabitkan komponen-komponen seperti gegelang omboh, rod penghubung, aci engkol, flywheel dan spring injap. Hasilnya, jentera ini dikatakan mempunyai pecutan yang lebih responsif.
Enjin berkod VR38DETT itu dipasang dengan tangan dari mula hingga akhir oleh juruteknik yang mahir iaitu ‘takumi’. Setiap enjin didatangkan dengan plat pengiktirafan dalam warna eksklusif yang terletak pada bahagian hadapan enjin.
Sistem brek pula kekal seperti sebelum ini, dengan cakera berukuran 410mm di hadapan dan 390mm di belakang, serta angkup berjenama Brembo. Ia merupakan cakera karbon seramik paling besar yang terdapat pada kereta prestasi dari Jepun.
GT-R NISMO, termasuk model edisi istimewa, akan dilancarkan di Jepun pada Oktober depan. Bagaimanapun, peminat tidak perlu menunggu lama kerana bermula 16 April, McDonald’s Jepun akan menawarkan ‘Tomica Happy Set’ yang mengandungi GT-R NISMO versi mainan berskala kecil.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live