Antarabangsa

Nissan Kicks 2021 Menerima Rekaan Luaran Dan Dalaman Lebih Menarik

gempak
Erywan
10/12/2020
04:37 MYT
Sponsor Banner
Nissan Kicks 2021 Menerima Rekaan Luaran Dan Dalaman Lebih Menarik
Selepas tiga tahun berada dalam pasaran Amerika Syarikat, Nissan Kicks akhirnya diberikan facelift yang menyaksikan ia menerima rekaan luaran dan dalaman yang lebih menarik, serta beberapa kelengkapan terkini.
Walaupun ukuran dimensi dikekalkan seperti sebelum ini, kehadiran gril ‘Double V-Motion’ baharu membuatkan crossover kompak ini tampak lebih besar dan tidak ubah seperti sebuah SUV sebenar. Ia ditemani oleh sepasang lampu LED yang lebih langsing dan rekaan bampar yang lebih sporty.
Di belakang, Kicks mendapat lampu melintang yang merentasi sepanjang tailgate dengan elemen LED baharu. Seperti di hadapan, bampar belakang turut diberi sentuhan segar untuk penampilan yang lebih atletik. Untuk 2021, Nissan menawarkan tiga warna baharu – Electric Blue Metallic, Scarlet Ember Tintcoat dan Boulder Grey Pearl – serta beberapa pilihan warna dua tona.
Ruang dalaman turut dipertingkatkan dengan rekaan kerusi dan trim baharu pada panel pintu, perehat tangan serta skrin sentuh sistem infotainmen berukuran tujuh atau lapan inci, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto standard pada semua varian. Selain itu, terdapat juga port USB-C, ciri sambungan Wifi dan sistem audio Bose untuk varian-varian teratas.
Untuk pasaran Amerika Syarikat, Kicks didatangkan dengan enjin DOHC 1.6-liter empat silinder dengan Continuous Variable Valve Timing (CVVT). Dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT yang memacu roda hadapan, enjin itu mampu menghasilkan 122hp dan 155Nm. Traction Control, Vehicle Dynamic Control dan Hill Start Assist disertakan secara standard, manakala dua varian teratas iaitu SV dan SR mendapat brek cakera belakang.
Bukan itu sahaja, kedua-dua varian terbabit turut mendapat Intelligent Cruise Control dan brek parkir elektronik dengan Auto Hold. Sebagai varian tertinggi, Kicks SR didatangkan Integrated Dynamic-Control Module yang mengandungi Active Engine Brake, Intelligent Trace Control dan Intelligent Ride Control untuk pemanduan yang lebih menyeronokkan.
Lebih penting lagi, Nissan dilihat mengutamakan aspek keselamatan dengan setiap varian Kicks dilengkapi dengan Nissan Safety Shield 360 yang merangkumi Automatic Emergency Braking dengan Pedestrian Detection, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert, High Beam Assist dan Rear Automatic Braking. Intelligent Around View Monitor dan 10 beg udara turut disertakan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024