Bermula Februari 2020, Nissan LEAF yang dijual di pasaran Jepun akan hadir dengan penambahbaikan dari segi teknologi bantuan pemandu serta ciri keterhubungan.

Pertama sekali, ciri kawalan kelajuan ProPilot kini dioptimumkan bagi tujuan pembrekan yang lebih lancar dalam pelbagai keadaan, sekali gus menghasilkan pemanduan yang lebih selesa.

Sistem bantuan pemandu itu juga boleh mengekalkan kelajuan yang ditetapkan oleh pemandu di atas jalan yang curam dan kemudiannya menyeimbangkan output enjin apabila ia kembali ke jalan yang lebih rata.

Sementara itu, ciri ProPilot Park juga dipertingkatkan dan ini mengurangkan masa yang diperlukan untuk masuk ke ruang parkir sebanyak 20 peratus.

LEAF turut hadir dengan dua ciri baharu. Intelligent Blind Spot Intervention direka untuk membantu mengelakkan perlanggaran apabila menukar lorong, manakala Canto akan mengeluarkan bunyi sebagai amaran kepada pejalan kaki dan penunggang basikal.

Di dalam, sistem navigasi NissanConnect dengan skrin berukuran 9 inci kini diberikan secara standard. Selain navigasi, sistem ini juga hadir dengan hotspot Wifi dari Docomo serta fungsi EV yang boleh memaparkan pelan pengecasan semula bagi memastikan pemandu mempunyai kuasa elektrik yang cukup untuk tiba ke destinasi.

Selain itu, pemilik kini boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk memeriksa dan mengunci kereta dari jauh. Menerusi aplikasi yang sama, mereka juga boleh mendapatkan status seperti kelajuan dan lokasi kenderaan jika ia sedang dipandu oleh orang lain.

LEAF boleh didapati dalam dua warna baharu iaitu Vivid Blue dan Stealth Grey, dan semua varian kini didatangkan dengan antena sirip yu.