Antarabangsa

Nissan Navara 2021, Lebih Rugged Serta Sistem Keselamatan Dipertingkatkan

gempak
Erywan
06/11/2020
03:35 MYT
Sponsor Banner
Nissan Navara 2021, Lebih Rugged Serta Sistem Keselamatan Dipertingkatkan
Selepas lima tahun berada di pasaran, Nissan Navara akhirnya menerima versi facelift yang tampil dengan reka bentuk yang lebih ‘rugged’ serta sistem keselamatan yang dipertingkatkan.
Perubahan paling signifikan bagi model baharu ini boleh dilihat pada bahagian hadapan, di mana terdapatnya jeriji ‘interlock’ dengan lampu utama LED yang dihiasi dengan lampu nyalaan siang berbentuk C.
Lampu belakang dan tailgate turut direka semula, manakala bampar belakang kini mempunyai anak tangga untuk memudahkan kerja mengangkut dan menurunkan barang.
Buat pertama kalinya, Navara boleh didapati dalam varian yang dikenali sebagai PRO-4X. Kecuali rim 17 inci yang dibalut tayar off-road, varian baharu ini hanya melibatkan perubahan kosmetik iaitu kemasan berwarna hitam dan perincian berwarna oren.
Rekaan ruang kabin tidak banyak berubah, namun masih menampilkan beberapa kelengkapan baharu seperti stereng, instrumen kluster berukuran tujuh inci dan skrin infotainmen lapan inci dengan sistem Nissan Connect dan port USB-C.
Apa yang lebih penting, kehadiran lebih banyak bahan penebat bunyi, kaca dilaminasi serta tempat duduk belakang rekaan baharu menjadikan ruang dalaman Navara lebih senyap dan selesa berbanding sebelum ini.
Bukan itu sahaja, Nissan turut menaik taraf casis dengan memberikan rak stereng baharu dan memperkuatkan gandar belakang, sekaligus memberikan trak itu kapasiti muatan yang lebih tinggi.
Navara kini dilengkapi dengan sistem Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi ciri-ciri seperti Intelligent Forward Collision Warning, Intelligent Emergency Braking, Intelligent Driver Alertness, Lane Departure Warning, Intelligent Lane Intervention dan Blind Spot Warning.
Turut disertakan adalah Intelligent Around View Monitor yang membolehkan pemandu melihat keadaan sekeliling kenderaan dengan lebih mudah, Rear Cross Traffic Alert dan Trailer Sway Control.
Ketika melakukan pemanduan off-road, pemandu boleh mengaktifkan sistem Active Brake Limited Slip Differential (ABLS). Sistem ini berfungsi untuk menguruskan penghantaran kuasa enjin dan brek ke gandar hadapan dan belakang dan antara tayar kiri dan kanan, bergantung kepada cengkaman dan kelajuan kenderaan.
Maklumat mengenai enjin masih belum didedahkan, namun ia dijangka mengekalkan enjin sebelum ini iaitu enjin diesel 2.3-liter twin-turbo dengan 190PS dan 450Nm.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live