Diperkenalkan buat pertama kali pada 2018, Nissan Navara Off-Roader AT32 adalah satu daripada model yang mampu memberikan saingan sengit kepada trak pikap idaman ramai iaitu Ford Ranger Raptor.

Kini model untuk pasaran Eropah itu telah diberi naik taraf dan menurut Nissan, ia bukan sahaja lebih efisyen malah lebih sedap dipandu dengan kebolehan off-road yang dipertingkatkan.

Dibangunkan dengan kerjasama Arctic Trucks, syarikat yang pakar dalam talaan trak, Navara Off-Roader AT32 kini dilengkapi dengan plat perlindungan bawah badan (underbody) diperbuat daripada aluminium ringan.

Menjadikan ia lebih sedia untuk melakukan aktiviti lasak adalah tayar Nokian bersaiz 31.6 inci yang membalut rim aloi berwarna hitam satin.

Rim itu didatangkan dengan injap berkembar bagi membolehkan penyesuaian tekanan angin tayar dilakukan lebih pantas dalam persediaan untuk menghadapi bentuk muka bumi yang pelbagai.

Seperti sebelum ini, Navara Off-Roader AT32 hadir dengan gerbang roda lebar serta sistem suspensi prestasi Bilstein, kedua-duanya dibangunkan untuk pemanduan ‘all terrain’.

Bagi menjadikannya ia lebih menonjol, model ini menampilkan lencana khas pada bahagian hadapan, gerbang roda, pemijak sisi, tailgate dan pelindung lumpur.

Turut disertakan adalah ciri-ciri bantuan pemandu iaitu Hill Start Assist, Hill Descent Control, Intelligent Emergency Braking dan Intelligent Around View Monitor.

Pelanggan yang mahukan jentera yang lebih lasak boleh mendapatkan aksesori tambahan berupa ‘differential’ yang ditala khas bagi memberikan tahap cengkaman yang lebih tinggi pada gandar hadapan.

Selain itu, Nissan turut menawarkan snorkel yang boleh digunakan untuk menambah kedalaman meredah air kepada 800mm.